BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, 2 April 2011

API OH API

Api Oh Api!

"Api... Api... Lari!"

"Selamatkan diri!"

Siren kecemasan kedengaran. Bertempiaran semua orang menyelamatkan diri.

Saat itu semua orang hanya memikirkan diri sendiri.

Tiada lagi istilah bos dan kuli. Lari atau mati.

Demikian sedikit gambaran kebakaran yang selalu kita dengar di kaca TV.

Menariknya, tatkala peristiwa ini berlaku tenaga itu datang dengan tiba-tiba dan sungguh luar biasa.

Malah ada yang mungkin melompat ke luar jendela, mencari jalan keluar yang paling pantas.

Refleksi diri hari ini : Sungguh kurang di antara kita yang lari menyelamatkan diri dari api neraka biarpun sudah tahu akan bahananya.

Malah ada yang menyiram dengan siraman maksiat, menyemarakkan lagi api untuk memanggang diri sendiri.
 
Saya kira cerita di atas bukan analogi semata-mata tapi ia adalah satu kebenaran yang perlu difahami.

Ia adalah satu gambaran berupa peringatan daripada Allah s.w.t.. Dan hanya manusia yang berfikir sahaja yang akan menyedari rahsia alam.

Orang selalu kata yang kita senang ingat Allah bila kita susah. Ironinya, kita kurang pasti berapa ramai yang mengingati Allah tatkala mereka sakit.

Malah ada yang menjadikan alasan sakit itu untuk menjauhkan diri daripada Allah s.w.t.. Pelik bunyinya tapi itulah hakikatnya.

Sakit itu semacam satu lesen besar untuk lari dari kewajipan yang sewajarnya.

Sepatutnya, sakit itu adalah peluang untuk kita lebih dekat dengan Allah s.w.t.. Daripada-Nya kita datang dan kepada-Nya kita akan kembali.

Maka marilah kita semua menyucikan hati.

Hanya MUKMININ yang akan ke SYURGA...

JALAN KE SYURGA ITU PAHIT KERANA SYURGA ITU MANIS

HARI ITU, INI DAN ESOK

Hari itu yang berlalu diri berlari mengejar bahagia, mengharap sinar lalu tersungkur rebah derita dan duka. Bangkit kembali dengan harap dan doa, tetapi tiba di penghujung dengan sesal, hampa dan kecewa. Putus harap pada sinar itu sehingga belajar semula bagaimana untuk bermula, bertatih menerima ukiran takdir atas sutera kehidupan.

Hari itu yang berlalu juga mengajar diri bagaimana untuk meminta meski tahu mungkin akan kecewa jua, tetapi hari itu juga yang menyedarkan diri bahawa meminta dan kecewa adalah nikmat yang perlu dinikmati dengan sabar.

Hari itu yang berlalu juga menjadi bukti betapa diri ini lemah tiada berdaya, tak pernah mampu untuk hadapi apa jua yang tidak dicernakan melalui impian, namun hari itu juga yang mengajar bahawa inilah sutera kehidupan.

Hari itu yang berlalu tidak hanya sepi dihias duka tetapi hari itu yang berlalu DIA hadiahkan cinta itu pada penghujung sendu dan bulat kecewa.

Hari itu yang berlalu membuatkan takut untuk diri melukis impian pada langit nan indah itu kerana bimbang pelangi yang berpaut pada awanan kan sirna jua. Lalu cinta itu dibiar tanpa impian juga hiasan harapan, yang ada cuma serahan semula kepada DIA pemilik segala cinta.

Hari itu yang berlalu melahirkan seorang insan yang tidak punya impian dan mimpi untuk hidup, segala yang ada cuma perkiraan untuk kembali kepada tuhan, dan menanam harapan untuk bertemu dan bertatap wajah DIA pada esok hari.

Hari itu yang berlalu berbicara DIA bahawa cinta ini untuk disini perlu kuukir sinar kasih padaNYA sebagai bekalan pertemuan kembali aku dan DIA, justeru cinta itu disimpan, lalu tumbuh berbunga harapan untukku sulam cinta itu dengan segala ada dengan sebuah ikatan.

Hari ini menyebabkan hari yang berlalu itu dirindui, kerana segalanya masih seperti akhirnya hari yang berlalu cuma cinta itu sudah mula disulam dengan segala perasaan menuju sebuah ikatan sebagai bekalan untuk bertemu tuhan, menatap dan berbicara dengan Ar-Rahman pada saat yang ditentukan.

Hari ini berbunga harapan mula mekar keindahan, hati mula diresap kebimbangan apakah berbunga yang mekar ini bakal digubah elok memacu langkah menuju impian, ataukah akan berguguran jua kerana tewas jasad dan roh tanpa cukup persiapan pada amalan.

Hari ini bersama seribu ketakutan masih tersimpan cinta itu, masih teranyam kasih itu menanti sebuah ikatan, agar terlengkap jua impian itu kelak menjadi bekalan untuk bertemuNYA seperti mekarnya berbunga harapan.

Hari ini segalanya kuserah dan kusimpulkan dalam sebuah pasrah harap bernama doa, kerna biacaraNYA memintaku untuk terus meminta kelak akan DIA kabulkan jua.

Hari ini berteleku jua dengan segala impian, harapan, dan ketakutan bersama rantaian rintihan.

Hari ini menyebabkan diri tegar menghadapi hari esok.

Tuhan segalanya sudahku serahkan...

Friday, 1 April 2011

SAMPAI BILAKAH?

Bila mak kata dia teringat, kita jawab sibuk sangat...
Bila ayah kata dia rindu, kita jawab nantilah hujung minggu...
Bila mak minta kita pulang, kita jawab kita belum lapang...
Bila ayah minta kita singgah, kita jawab kerja kita belum sudah...

Bila hati kita terguris, kita kata... "Mak memang tak pernah faham".
Bila hati kita terhiris, kita kata... "Ayah memang tak ambil kisah".

Tetapi...

Bila hati mak kita guris, mak kata... "Tak apa, dia masih muda".
Bila hati ayah kita hiris, ayah kata... "Tak mengapa, belum sampai akalnya".

Bila kita menangis tanda lapar, mak berlari hingga bagai hilang kaki...
Bila kita merintih tanda derita, ayah bersengkang mata bagaikan tiada lena...
Bila kita sedih kerana gagal, mak setia membekalkan cekal...
Bila kita pilu kerana kecewa, ayah teguh berkata dia tetap bangga...




ILMU

Dengan ilmu, manusia bisa menakluki dunia...
Dengan ilmu, manusia bisa menakluki negara...
Dengan ilmu, manusia petah berbicara...
Dengan ilmu, manusia bisa jadi kaya...
Dengan ilmu, manusia bisa terangkat jadi mulia...

Tetapi...

Dengan ilmu tapi tanpa iman, manusia bisa merosak dunia...
Dengan ilmu tapi tanpa hidayah, manusia bisa khilaf pentadbirannya...
Dengan ilmu tapi tanpa rahmat, manusia bisa berbicara penuh sandiwara...
Dengan ilmu tapi tanpa amal, manusia bisa jadi papa...
Dengan ilmu tapi tanpa agama, manusia bila-bila bisa jadi hina...

DILEMA by HIJJAZ


Lihatlah panorama dunia
Wanita bagaikan hilang rasa malunya
Maruah yang menjadi maharnya
Tergadai sia bagai tiada berharga

Di manakah budinya di manakah akhlaknya
Sungguh pilu dan sayu mengenangkannya
Santun tiada lagi nafsu memimpin hati
Kehormatan diri tidak dipeduli

Oh wanita kembali menginsafi
Kepada asal fitrah kejadianmu
Diciptakan untuk dihormati
Sentiasa diredhai Tuhan Pencipta
Kembali kepadanya juga pada Rasulnya
Pasti dihadirkan taufik dan hidayahnya
Wanita...

Kembalilah ke arah kemuliaan
Contohi peribadi Ummul Mukminin
Rasulullah dijadikan suami
Tertawan kerna keluhuran pekerti
Bukan kerana harta bukan kerana nama
Tapi kerana budi yang disanjungi
Kembalilah...

Wanita perhiasan dunia
Bagai kilau permata di antara kaca
Sayangnya makin pudar cahaya
Hingga tiada lagi beza di antaranya..
.

Tuesday, 29 March 2011

KETAHUILAH WAHAI SYABAB

Usah kau lalaikan diriku
Dengan ayat-ayat cinta palsumu
Bukan kau sekadar merosakkan dirimu
Ketahuilah dirimu wahai syabab
Kau juga merosakkan bangsamu
Kerana kejatuhan sesuatu bangsa itu 
Tergantung pada jatuhnya maruah wanita mereka
Bermula pada dirimu
Jika kau gagal mengendalikan nafsumu
Kerana mudah terpesona dengan keindahan 
Yang hakikatnya adalah palsu
 
Ketahuilah wahai syabab
Jika kau merasa lemah
Tika bayangan kami berlalu
Yang melintas pada mindamu
Engkau telah tertipu
Muda kami kan berlalu
Keayuan kami kan pudar
Seiring waktu
Tegas pada dirimu
Kau harus tundukkan pandanganmu
Agar tidak kau turut kan nafsumu

Ketahuilah wahai syabab
Ada di antara kami sengaja melalaikanmu
Melalui pakaian tertentu
Tanpa punya rasa malu
Tegas kan pada dirimu
Engkau pemuda islam sejati
Tunjukkan kegagahanmu
Melawan hawa nafsu
Bukan melalui kudratmu
Bika tidak kau akan tertipu

Ketahuilah wahai syabab

Kau harus bertegas pada dirimu
Menjaga kesucianmu
Hanya buat wanita yang halal padamu
Jika kau ingin kami juga berbuat begitu
Kerana janji Allah tidak menipu
Lelaki yang baik untuk wanita yang baik
Bukankah berkali-kali kau diberi peringatan untuk itu

Ketahuilah wahai syabab
Jika kau punya niat
Wanita bemaruah untuk dijadikan isterimu
Jagalah jua maruahmu
Kerana itu
Selagi kami tidak halal buatmu
Usah kau biasakan lidahmu
Menjaja ayat cintamu yang penuh palsu
 
Ketahuilah wahai syabab
Pujuk rayu mu kan mejadi saksi
Pada hari kebangkitan nanti
Dan itu sudah pasti
Pada apa yang pernah kau taburi
Hinggakan ramai gadis dikhianati
Anak luar nikah itu dibenci
Gara-gara perbuatanmu
Dan pasanganmu yang mengkhianati,
Pada ikatan suami isteri yang selayaknya kalian miliki
Sebelum kalian berlagak suami isteri
Kerana kalian tidak mematuhi
Larangan zina itu sendiri

Ketahuilah wahai syabab
Ku tarikan pena ini
Mengingatkan diriku sendiri
Juga untuk kalian hayati
Agar kalian tidak lalai berulang kali
Ketika kalian berhadapan dengan kami
Bukan mengatakan kalian salah sepenuhnya
Cuma peringatan agar kalian bangkit kembali
Menjadi pejuang agama sejati
Dari terus dilalaikan diantara kami
Jika kau merasa lemah
Apatah kami
Kerana kau imam
Dan kami makmum mu
Jika salah hala tujumu
Kami juga begitu

Ketahuilah wahai syabab
Kami miliki kudrat yang lemah
Namun gengaman kami tidak lemah
Jika buayan mampu kami goncang
Dunia juga mampu kami gegar
Apatah cuma dirimu
Lihat sejarah lalu
Ramai pemimpin dari kaummu
Tewas ditangan kami
Kerana kegagalan kalian menahan nafsu

Ketahuilah wahai syabab
Jika kau merasa megah
Menghulurkan cintamu
Tanpa ikatan halal
Dan ada di antara kami menyambut cinta palsumu
Lantas tanpa ikatan halal itu
Kau megah membawa di antara kami yang hanyut dengan cintamu
Ke sana, sini juga ke situ
Ternyata sebenarnya engkau merendahkan dirimu
Kerana lebih banyak dikalangan kami yang merosakkanmu
Dari diri kaummu yang merosakkan kami
Hanya kerana kelalaianmu
Sedarkan dirimu

Ketahuilah wahai syabab
Selagi kau serius dengan agama mu
InsyaAllah
Setelah sah ikatan halal itu
Kami berusaha untuk taat padamu
Bukan kerana menjunjung cintamu
Tapi kerana cinta
Pada Dia yang Maha Satu

Monday, 28 March 2011

CINTA ALLAH CINTA ABADI <---SUBHANALLAH

Farah benar-benar keliru dengan sikap kekasihnya. Siang, malam, mesejnya satu pun tidak berbalas. E-mailnya terus lengang seiring dengan waktu yang terus berlalu. Dia sangat tertekan waktu itu. Farah memerlukan seseorang untuk menjadi tempat luahan bicaranya, tempat mengadu segala keperitan, tempat berkongsi suka dan duka.

Masih segar lagi diingatannya sewaktu dia dan Fahmi bersama, ke mana sahaja tentu mereka akan berdua. Setiap kali hujung minggu, sudah tentu panggung wayang akan menjadi destinasi utama mereka. Duduk berdua-duaan menjadi perkara yang amat dinantikan olehnya. Namun kini, semua itu hanya tinggal kenangan. Fahmi bukan kekasih yang dikenalinya dulu, dia kini tidak lagi bersamanya untuk berkongsi suka dan duka. Janji-janji manis Fahmi untuk bersama-sama membina istana berlandaskan syariat seakan-akan terkubur kini. “Kau jantan penipu! Kau pendusta! Aku benci kau!” Hari demi hari, hati Farah makin kuat menjerit melepaskan kebencian, namun yang berkunjung hanyalah kerinduan terhadap seorang mahluk yang bernama lelaki itu.

Sehinggalah pada suatu hari, Farah bertemu dengan seorang gadis di sebuah program motivasi. Pertemuan di dalam sebuah majlis yang singkat itu tidak di duganya membuahkan sebuah persahabatan yang berkekalan. Gadis itu amat lembut pekertinya. Auratnya dijaga rapi dan tutur katanya diatur sempurna. Humairah, itulah nama yang diungkapkan gadis itu sewaktu Farah menghulur tangan tanda perkenalan. Mulanya Farah tidak tertarik untuk mendekati gadis itu, namun kepetahan dan kebijaksanaannya berbicara, akhirnya hati Farah tertarik untuk mengenalinya dengan lebih rapat.

Sejak mengenali Humairah, Farah mula mendekati Islam sebenar-benarnya. Itu tidaklah bermakna Farah yang dahulu jauh daripada agama, namun kini dirasakannya perjalanan kehidupannya lebih terpelihara. Jika dahulu dia memakai tudung gaya moden yang menonjolkan dadanya, kini tudung itu menjadi bertambah labuh. Jika dahulu, T-shirt dan jeans menjadi pilihan pemakaian hariannya, kini jubahlah pula yg menjadi pembalut tubuh agar tidak menjadi bahan tatapan lelaki-lelaki berhidung belang. Hari demi hari, Farah seakan-akan mampu melupakan Fahmi. Kini Humairahlah dunianya, segala masalah dikongsikan bersama. Kehadiran Humairah mampu menggantikan tempat Fahmi. Yang anehnya, Humairah seolah-olah seperti Fahmi versi wanita baginya.

Saban hari, semakin ramai yang gemar untuk berdampingan dengan Farah. Dia amat bahagia kini kerana dikurniakan ramai sahabat yang ada untuknya meluahkan rasa suka dan duka. Ramai pemuda cuba untuk mendekatinya, namun Farah segera menolaknya kerana dia sedar, cinta kepada seorang lelaki mampu membunuhnya. Apa yang dinantikannya kini hanyalah CINTA kepada Ilahi dan bukannya cinta sementara rekaan syaitan bertunjangkan hawa nafsu. Cinta selepas kahwin menjadi idamannya kini. Bila dan siapa orangnya, biarlah Allah sahaja yang menentukannya.

Kini genaplah lima tahun pengajiannya di Institut Perguruan Tengku Ampuan Afzan. Minggu hadapan, dia akan mula bercuti. Farah sudah mula sibuk mengemaskan barang-barang untuk pulang ke kampung halaman. Tiba-tiba Humairah datang mengirimkan sepucuk surat kepada Farah. Tanpa sebarang bicara, Humairah berlalu pergi. Perlahan-lahan, Farah membuka sampul surat berwarna biru itu. Hatinya berdebar-debar, kerana dia kenal benar dengan tulisan tangan di sampul surat itu. Tulisan insan yang pernah membuat hidupnya sengsara dahulu.

Assalamu'alaikum wrh,

Ke hadapan Farah binti Mohd Jefry, gadis yang selalu kusayangi sejak dahulu, kini dan InsyaAllah, untuk selama-lamanya. Maafkan diriku kerana telah lama menghilang tanpa sebarang berita. Aku pergi bukan kerana ingin meninggalkanmu tapi aku pergi kerana aku mahu mencari CINTA dariNya.

Mungkin dahulu aku pernah membawamu ke dunia penuh kelalaian. Atas desakan hawa nafsu, aku mengajakmu melanggar batas-batas syariat. Mujur, aku tersedar lalu kutinggalkan kamu sendirian merangkak dalam kepayahan. Aku turut berduka kerana kehilanganmu. Siang, malam, hari-hariku terasa perit tanpa adanya kamu. Mungkin kau tidak menyedari, aku sering memerhatikan kamu. Mesej-mesej pertanyaan khabar darimu sengaja kubiarkan tidak berbalas. Maafkan aku.

Kuhadiahkan kamu adikkku, Humairah sebagai penggantiku, teman sewaktu kamu senang dan susah. Segala perkembangan tentang kamu, selalu kutanyakan kepada adikku. Kadang-kadang ada juga kau mengeluh tentangku, saat itu, aku terasa berat untuk menjauh darimu. Namun, aku perlu berbuat begitu, kerana aku perlukan masa untuk mengambilmu sebagai isteri. Ilmu agama perlu kuperdalami, ilmu dunia perlu kutuntut agar aku mampu mencari rezeki buat kita berdua.

Kini sudah tiba masanya untukku sunting dirimu. Apa yg perlu kau tahu, saat kamu membaca surat ini, rombongan meminang telah pun kuhantar kerumahmu. Kuharap kau sudi untuk menerimaku sebagai suamimu.
Sekian, wassalam.

Yang Benar,
Fahmi.
 
Farah terdiam seketika, hatinya berbunga. Dalam esakan tangisan dia tersenyum. Dia bahagia kini. Tidak disangka, insan yg dahulunya dianggap pengkhianat, penipu dan pembelot rupa-rupanya seorang kekasih yang sejati. Benarlah, begitu indahnya cinta andai ada CINTA kepada Allah Yang Maha Esa. Farah mula menyambung kembali tugasnya. Tidak sabar untuknya pulang menanti hari-hari bahagia apabila dia dan Fahmi disatukan nanti. Indahnya hidup berlandaskan syariat, itulah kisah Fahmi dan Farah, anda bagaimana?

SOLEHKAN DIRI UNTUK MEMILIKI YANG SOLEHAH...
SOLEHAHKAN DIRI UNTUK MEMILIKI YANG SOLEH...