BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, 14 April 2011

TIPS MENUTUP AURAT-PERINGATAN BERSAMA

Menutup aurat adalah perintah daripada Allah s.w.t.. Anjuran ini hakikatnya turut melibatkan lelaki, namun perintahnya amat kritikal ditekankan kepada wanita memandangkan lebih ramai wanita yang tidak menutup aurat berbanding lelaki. Tambahan pula fitnah wanita itu lebih besar.

Di bawah diesrtakan bebrapa kaedah praktikal menjadi Muslimah yang prihatin dengan penampilannya di hadapan ajnabi.

1. Tahu. Langkah pertama ialah ilmu. Penting bagi Muslimah mengetahui batasan aurat, ciri-ciri pakaian yang menutup aurat, siapa mahram dan siapa ajnabi, hukum hakam berkenaan aurat dan sebagainya.

2. Sedar bahawa tuntutan syariah ini amat perlu dan penting untuk dilaksanakan sesempurna mungkin. Jangan sambil lewa dan acuh tak acuh. Soal halal haram adalah perkara besar.

3. Syiar. Setiap agama ada imejnya. Imej wanita Muslimah dapat dikenali melalui ciri-ciri pakaian yang menutup aurat.

4. Fungsi cermin. Sebelum melangkah keluar rumah dengan yakin, tanyalah cermin, "Wahai cermin, adakah hari ini aku berpakaian menutup aurat?" Jawapannya perlu dijawab berdasarkan ciri-ciri pakaian patuh syariah.

5. Asingkan pakaian kepada dua kriteria : sesuai atau tidak sesuai dipakai di hadapan ajnabi. Pakaian yang seksi misalnya, masih boleh dipakai tetapi hanya apabila bersendirian di dalam bilik atau di hadapan suami.

6. Malu. Wanita yang tidak biasa mendedahkan aurat di hadapan lelaki ajnabi akan berasa malu, takut, gelisah dan sebagainya walau sekadar bermimpi tidak bertudung.

7. Bersahabat dengan wanita yang solehah boleh menguatkan pendirian dan langkah seseorang wanita yang ingin berusaha mengubah penampilan kepada penampilan yang patuh syariah.

8. Eksklusif. Semua wanita itu cantik. Jika tidak manakan wanita menjadi senjata iblis melemahkan kaum lelaki. Namun kecantikan dan keindahan tersebut Allah kurniakan sebagai milik eksklusif wanita itu dan suaminya sahaja. Oleh sebab itu, usah dipertontonkan aurat dan perhiasan kepada umum secara percuma, jika suami pun perlu membayar mahar untuk memilikinya.

9. Banyak manfaat. Wanita yang menutup aurat hakikatnya akan melangkah keluar rumah dengan lebih yakin dan selamat. Mereka tidak perlu ambil kisah gaya rambut, tidak perlu berhabis duit untuk aksesori itu dan ini.

 Nak jadi wanita yang DIREDHAI Allah kenalah pakai pakaian yang DIREDHAI Allah... Allah mengasihi orang-orang yang berusaha membaiki diri.

Wednesday, 13 April 2011

CERMIN KEPADA DIRI ADALAH S.A.H.A.B.A.T

Maksudnya : "Agama seseorang itu adalah mengikut rakannya, maka telitilah seseorang yang ingin dijadikan rakan baiknya." (Riwayat Abu Daud)

Sabda Baginda Rasulullah SAW lagi dalam hadis yang lain :
Maksudnya : "Perumpamaan orang yang baik dan orang yang jahat itu adalah seperti penjual wangian dan tukang bakaran besi. Maka penjual wangian (kamu akan dapati kebaikan baunya) sama ada melalui pemberiannya, atau kamu beli darinya atau tempiasan baunya, adapun pembakar besi, sama ada ia akan membakar bajumu atau mendapat baunya yang busuk." (Riwayat Al-Bukhari)

Ulasan Hadis :

1. Di dalam hadis ini Nabi SAW mengingatkan kita berkenaan kesan dan pengaruh kebaikan seseorang yang boleh berpindah kepada orang di sekitarnya.

2. Kerana itu kita disarankan agar memilih sahabat yang baik yang sentiasa menyeru agar melakukan perkara kebaikan serta meninggalkan perkara keburukan.

3. Kita seharusnya percaya bahawa orang yang dipilih sebagai sahabat atau rakan baik akan menjadi "cermin" kepada diri kita. Jika baik pilihannya, baiklah juga diri kita, jika sebaliknya, begitulah juga gambaran diri kita.

4. Dalam hadis seterusnya, Baginda SAW perbezaan di antara orang yang baik dengan orang yang buruk iaitu seperti penjual wangian dengan tukang bakaran besi di mana sudah semestinya bau wangi wangian tersebut akan terkena tempiasnya pada penjual wangian, begitu juga dengan bau busuk bakaran besi, sedikit sebanyak akan melekat pada pembakar besi.

5. Jelas, berpunca dari kebaikan satu orang manusia, ia boleh bercambah kepada yang lain. Maka jadikan diri kita sebagai orang yang membawa kebaikan tersebut atau dengan kata lain berperanan seperti penjual wangian yang sentiasa menyemai kebaikan dalam diri orang lain.

6. Jangan beralasan dan asyik mengharapkan orang lain untuk memulakan. Memulakan sesuatu yang baik di tengah suasana keburukan adalah sifat mulia. Ia kerap dirasakan pelik dan asing lalu dikritik dan ditertawa oleh orang yang tidak menilainya dengan mata hati.

7. Tiada sebarang ruginya untuk mengelak diri dari maksiat dan keburukan, serta bersikap lurus dan amanah dalam setiap urusan kehidupan kita bersama manusia lain. Mengapa kita perlu menipu sedangkan ia tidak disukai jika terkena kita sendiri? Dan mengapa perlu memaki hamun sedang ia pedih buat orang lain dan juga diri kita?

8. Pastikan kita memilih SAHABAT yang baik, yang akan menjadi ikutan dan bukannya kejian. SAHABAT yang kurang baik kita bantu mereka.






Tuesday, 12 April 2011

PEREMPUAN VERSUS MUSLIMAH

 
PEREMPUAN . . .

Apabila teruna memerhatikan dikau,

Kau membalas renungan matanya.

Pabila teruna mendekati selangkah,

Kau datang berpuluh langkah.

Pabila teruna memujuk rayu,

Kau lemah dalam pangkuannya.

Pabila teruna memberi harapan,

Kau hanyut dalam angan langkah.



MUSLIMAH . . .

Pabila teruna memandang dikau,

Kau tunduk mengelak panah syaitan.

Pabila teruna mendekati selangkah,

Kau berundur beribu langkah.

Pabila teruna memujuk rayu,

Kau anggap itulah kalimah iblis syaitan.

Pabila teruna menutur harapan indah,

Kau yakin janji-Nya lebih bahagia di sana.

Kerana kau mengerti dan menyedari

Akan erti maruah peribadi sejati

Yang diselaputi iman yang hakiki.
 
PILIHAN DI TANGAN KITA

Monday, 11 April 2011

BEGINIKAH KITA?




Beginikah kita?
Insan lalai dan leka
Mudah terpedaya dan percaya
Pada hasutan syaitan durjana
Untuk mengisi kekosongan neraka

Beginikah kita?
Ingat Allah hanya seketika masa
Bila miskin bila derita
Bila susah tiada upaya
Bila duka datang nestapa

Beginikah kita?
Insan bergelar khalifah di bumi
Ada masa ketika menghadap Ilahi
Ada masa kelupaan menghiasi diri
Tak sedikit pun ambil peduli
Merasakan diri pasti belum mati

Beginikah kita?
Impian mendiami syurga
Nafsu syaitan masih didamba
Mudah leka keasyikan dunia
Segala kewajipan hanya sekadar tika
Umpama melepas batuk di tangga
Yang menanti, yang terbuka
Bakaran api kepanasan neraka
Bertaubatlah kita sebelum ajal tiba


ANTARA DUA CINTA by RAIHAN

Apa yang ada, jarang disyukuri
Apa yang tiada, sering dirisaukan
Nikmat yang dikecap
Baru kan terasa bila hilang
Apa yang diburu, timbul rasa jemu
Bila sudah di dalam genggaman

Dunia . . .
ibarat air laut diminum hanya menambah haus
Nafsu . . .
bagaikan fatamorgana di padang pasir
Panas yang membahang disangka air
Dunia dan nafsu
Bagai bayang-bayang
Dilihat ada ditangkap hilang

Tuhan, leraikanlah dunia
Yang mendiam di dalam hatiku
Kerana di situ tidak kumampu
Mengumpul dua cinta

Hanya cinta-Mu yang kuharap tumbuh
Dibajai bangkai dunia yang kubunuh



FAKTOR-FAKTOR YANG MEMBAWA KEPADA PERZINAAN

  • Pandangan Mata
  • Keinginan Hati
  • Dorongan Akal Fikiran
  • Mengikut Hawa Nafsu
  • Pergaulan Bebas
  • Berkhalwat atau Berdua-duaan
  • Pengaruh Media Massa
* Semoga kita dan keturunan kita dipelihara daripada bala zina ini. 



Sunday, 10 April 2011

ANTARA SYAITAN, AKU DAN IBLIS

Seorang pemuda bangun awal pagi untuk solat Subuh berjemaah di masjid. Dia berpakaian, berwudhu' dan berjalan menuju ke masjid. Di tengah jalan menuju ke masjid, pemuda tersebut jatuh dan pakaiannya kotor. Dia bangkit, membersihkan bajunya, dan pulang kembali ke rumah. Di rumah, dia berganti baju, berwudhu', dan berjalan lagi menuju ke masjid .

Dalam perjalanan pergi ke masjid, dia jatuh lagi di tempat yang sama. Dia sekali lagi bangkit, membersihkan dirinya dan kembali ke rumah. Di rumah, dia sekali lagi berganti baju, berwudhu' dan berjalan menuju ke masjid. Di tengah jalan menuju ke masjid, dia bertemu dengan seorang lelaki yang memegang lampu suluh.

Dia menanyakan identiti lelaki tersebut, dan menjawab, "Saya melihat anda jatuh dua kali di perjalanan menuju ke masjid, jadi saya bawakan lampu untuk menerangi jalan anda".

Pemuda tersebut mengucapkan terima kasih dan mereka berdua berjalan ke masjid .

Saat sampai di masjid, pemuda pertama bertanya kepada lelaki yang membawa lampu suluh untuk masuk dan solat Subuh bersamanya, lelaki itu menolak, pemuda itu mengajak lagi hingga berkali-kali dan lagi jawapannya adalah sama.

Pemuda bertanya, "Kenapa menolak untuk masuk dan solat?"
Lelaki itu menjawab "Aku adalah iblis".

Pemuda itu terkejut dengan jawapan lelaki itu.

Syaitan kemudian menjelaskan, "Saya melihat kamu berjalan ke masjid, dan sayalah yang membuat kamu terjatuh. Ketika kamu pulang ke rumah, membersihkan badan dan kembali ke masjid, Allah memaafkan semua dosa-dosamu.

Saya membuatmu jatuh kali kedua, dan bahkan itupun tidak membuatmu berubah fikiran untuk tinggal di rumah, kamu tetap memutuskan kembali masjid .

Kerana hal itu, Allah memaafkan dosa-dosa seluruh anggota keluargamu.

Saya khuatir, jika saya membuat kamu jatuh untuk kali ketiga, jangan-jangan Allah akan memaafkan dosa-dosa seluruh penduduk desamu. Jadi saya harus memastikan bahawa anda sampai di masjid dengan selamat.

PENGAJARAN:
Jangan biarkan syaitan mendapatkan keuntungan dari setiap aksinya. Jangan lepaskan niat baik yang hendak kamu lakukan kerana kamu tidak pernah tahu ganjaran yang akan kamu dapat dari segala kesulitan yang kamu temui dalam usahamu untuk melaksanakan niat baik tersebut.