Seminggu berlalu . . .
Latihan industri merupakan sebuah lapangan yang terbaik bagi pelajar untuk merasai dan melalui serba sedikit pengalaman ketika berada di alam pekerjaan. Pelajar yang menjalani latihan industri boleh menggunakan peluang yang ada untuk mempraktikkan ilmu yang telah dipelajari semasa kuliah atau tutorial bersama pensyarah masing-masing.
Kita perlu akur bahawa tidak setiap bidang yang dipelajari merupakan pekerjaan semasa berada di alam pekerjaan kelak. Maka, latihan industri juga perlu dimanfaat bagi para pelajar bukan sahaja untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari tetapi ruang yang ada juga perlu digunakan untuk menjadikan diri lebih bersifat dinamik pada masa hadapan. Hal ini kerana banyak pelajar yang menganggur adalah disebabkan oleh sifat yang tidak dinamik dan hanya menumpukan kursus yang disertai semasa pengajian.
Tidak semua perkara boleh dipelajari semasa berada di bilik kuliah. atau tutorial Bagi membina modal insan yang dinamik di dalam para pelatih, latihan industri wajar dijadikan ruang pembelajaran secara tidak formal oleh para pelatih untuk mendalami dunia pekerjaan yang bercirikan kepelbagaian.
Amalan kerja yang baik yang telah diterapkan semasa latihan industri harus terus diamalkan. Contoh amalan kerja yang baik ialah kerja secara berpasukan, profesional dan berperancangan. Sikap seperti ini amat dikehendaki bagi menjayakan sesuatu perkara di samping memperkemaskan para pelajar untuk melaksana projek di akhir pengajian di institusi.
Laporan latihan industri yang disediakan oleh para pelajar sendiri tidak terhad sebagai pemantaun kepada para pelajar bahkan menjadi rekod yang boleh dijadikan rujukan pada masa-masa memerlukan. Latihan selama empat bulan adalah tempoh yang boleh memacu minda para pelajar agar mampu bertransformasi untuk memenuhi keperluan industri Malaysia. Kegagalan untuk memahami objektif utama pelaksanaan latihan industri akan membantutkan perkembangan diri para pelajar bagi menjadi sumber manusia yang bermanfaat kepada negara dan pasaran global.
"Terima kasih warga kerja Agrobank. Ukhuwah fillah abadan abada".




0 comments:
Post a Comment