BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, 5 May 2011

10 SIFAT PERIBADI MUKMIN

10 ciri ini sebenarnya kalau ada pada diri kita, maka kehidupan kita akan menjadi teratur, bermakna dan kita akan menjadi lebih mudah mendekati Allah SWT.

Apakah 10 sifat itu? Mari kita lihat bersama-sama. Sifat-sifat yang dimaksudkan itu adalah :

1. Akidah yang Sejahtera : Apabila kita mempunyai akidah, pegangan yang benar dan jelas, maka mengharungi kehidupan bukanlah sesuatu yang sukar buat kita. Jika kita lelah, penat dan rasa gelisah, maka  kita yakin bahawa Allah sentiasa ada bersama kita. Jika kita mempunyai akidah yang sejahtera ini, kita juga akan mempunyai matlamat yang jelas serta perancangan hidup yang teratur kerana kita yakin Allah akan mengira setiap saat dalam kehidupan kita.

2. Ibadah yang Sahih : Ibadah yang sahih memudahkan kehidupan kita. Kita hidup mengharungi cabaran dan pelbagai mehnah. Dengan memahami tuntutan ibadah serta konsepnya yang sebenar, maka kita tidak akan tersasar daripada matlamat kehidupan kita. Apabila kita memandang kehidupan kita itu sendiri sebagai satu ibadah, maka kita akan terhindar daripada melakukan perkara yang sia-sia dan merosakkan.

3. Akhlak yang Mantap : Rasulullah itu sendiri diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. Dengan mempunyai akhlak yang mulia lagi mantap, peribadi kita akan terjaga serta darjat kita di kaca mata masyarakat bumi dan langit akan meningkat. Dengan akhlak kita yang mulia, sukar untuk timbul pergaduhan, sengketa dan sebagainya.

4. Luas Pengetahuan : Tanpa ilmu pengetahuan, manusia hanya akan menjadi hamba kepada manusia lain. Tetapi dengan ilmu pengetahuan, manusia akan berjaya menguasai dirinya, dan mendekatkan jiwanya kepada Allah. Dengan ilmu pengetahuan jugalah manusia memahami dan dapat berpegang teguh dengan keimanannya kepada Allah.

5. Sihat Badan : Badan yang sihat adalah antara tiang kebahagiaan hidup yang penting. Kita perlu menjaga kesihatan kita dan memberikan badan kita akan haknya.

6. Mampu Berdikari : Antara yang membuatkan kehidupan kita bermakna ialah, kita mengaut hasil daripada titik peluh kita sendiri dengan bantuan Allah SWT. Apabila kita tidak bergantung kepaada manusia lain, kita akan boleh menyusun hidup kita dengan baik dan mengaturnya dengan acuan kita sendiri.

7. Melawan Nafsu : Sebagai seorang yang ingin hidup dalam keadaan sejahtera dan selamat, maka kita hendaklah melepaskan diri daripada cengkaman hawa nafsu. Jika tidak, nafsu yang merupakan teman manusia sepanjang masa akan menjadikan kita sebagai hambanya. Dengan menentang nafsu kita, kehiduoan akan menjadi lebih bererti dan mendapat redha Ilahi.

8. Sangat Menjaga Masa : Allah ada menyatakan bahawa manusia itu ramai yang berada dalam kerugian kerana kealpaannya menjaga masa. Masa hakikatnya adalah seperti nyawa kita. Membazirkannya sama sahaja dengan membazirkan nyawa kita sendiri. Jika kita mengisi masa, bermaksud kita mengisi kehidupan kita. 

9. Tersusun Urusannya : Manusia yang tidak mempunyai perancangan sebenarnya sedang merancang untuk gagal. Jika kita mempunyai perancangan yang baik, masa kita tidak akan terbuang. Malah, keadaan kita lihat sempit, kalau kita mempunyai perancangan yang baik, maka kita akan nampak banyak peluang dan kerja yang boleh kita raih. Tersusun urusan juga akan melancarkan kehidupan dan menghindarkan kita daripada keserabutan.

10. Bermanfaat kepada Orang Lain : Apabila kita berjaya menjadikan diri kita bermafaat kepada orang lain, maka kehidupan kita akan menjadi lebih bermakna dan bahagia. Apabila kita bermanfaat kepada orang lain, maka masyarakat menyukai kita. Malah peluang untuk kita berubudiyyah kepada Allah akan menjadi lebih luas. Kita juga berpeluang besar menyebarkan Islam melalui peribadi kita.

Jika kita berjaya melengkapkan diri kita dengan 10 ciri-ciri ini, maka inshaALLAH, tidak mustahil untuk kita mencapai kehidupan yang bahagia, bermakna, tenang dan menyenangkan.

0 comments: