BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, 24 August 2011

TUJUH PERKARA YANG MENGHAIRANKAN

 
1). Aku hairan melihat orang yang sudah tahu bahawa dia akan mati, tetapi masih ketawa.

2). Aku hairan melihat orang yang sudah tahu bahawa dunia akan binasa, tetapi masih mencintainya.

3). Aku hairan melihat orang yang sudah tahu bahawa semua perkara terjadi menurut takdir, tetapi masih bersedih kerana kehilangan sesuatu.

4).Aku hairan melihat orang yang sudah tahu bahawa di akhirat ada perhitungan, tetapi masih sibuk mengumpulkan harta.

5). Aku hairan melihat orang yang sudah kenal dengan neraka, tetapi masih melakukan dosa.

6). Aku hairan melihat orang yang sudah mengenal Allah dengan yakin, tetapi masih mengingat selainNya.

7). Aku hairan melihat orang yang sudah mengenal syaitan sebagai musuhnya, tetapi masih mahu mematuhinya.

- Usman Ibn Affan r.a.

Saturday, 13 August 2011

KETAHUILAH WAHAI WANITA...


Engkau memang cantik selagi kau menutup malu,
Engkau memang cantik selagi kau memelihara adab,
Engkau memang cantik selagi kau menjaga aurat,
Engkau memang cantik selagi kau menjaga batas,
Engkau memang cantik selagi kau waras berhias,
Engkau memang cantik selagi kau bersifat fitrah,
Engkau memang cantik selagi kau pantang menyerah,
Engkau memang cantik selagi kau terus bersolat,
Engkau memang cantik selagi kau lurus bertaubat,
Engkau memang cantik selagi kau jujur berilmu,
Engkau memang cantik selagi kau taat suami,
Engkau memang cantik selagi kau membaca Al-Qur’an,
Engkau memang cantik selagi kau beradab sopan,
Engkau memang cantik selagi kau kasih ibu bapa,
Engkau memang cantik selagi kau mendidik keluarga,
Engkau memang cantik selagi kau sabar dan tenang,
Engkau memang cantik selagi kau tegakkan Islam,
Engkau memang cantik selagi kau mencegah kemungkaran,
Engkau memang cantik selagi kau berniatkan Allah,
Engkau memang cantik kerana kau seindah Islam!

Friday, 5 August 2011

DUNIA VERSUS AKHIRAT

Lucu ya...
Duit RM 50 kelihatan begitu besar bila dibawa ke kotak derma masjid, tapi begitu kecil bila dibawa ke Mega Mall(shopping kompleks).

Lucu ya...
30 minit terasa begitu lama untuk berzikir, tapi betapa pendeknya waktu itu untuk menonton "Akademi Fantasia".

Lucu ya...
Betapa lamanya 2 jam berada di masjid, tapi betapa cepatnya 2 jam berlalu ketika menonton wayang di panggung.

Lucu ya...
Susah sungguh merungkai kata untuk dipanjatkan saat berdoa atau solat, tapi betapa mudahnya cari bahan bersembang bila bertemu kawan-kawan, boyfriend dan girlfriend.

Lucu ya...
Betapa teriakan dan sorakan yang berpanjangan sewaktu menonton perlawanan bola sepak tetapi betapa bosannya bila imam terawih bulan Ramadhan bacaannya lama dan panjang.

Lucu ya...
Susah sangat baca Al-Quran 1 juzuk sahaja, tapi majalah hiburan dan novel best seller 100 halaman pun habis ditelaah.

Lucu ya...
Orang berebut paling hadapan untuk menonton bola sepak atau konsert, tapi berebut cari saf paling belakang sekali bila solat Jumaat supaya boleh cepat keluar.

Lucu ya...
Kita perlu diundang seawal 3-4 minggu sebelumnya untuk program agama supaya boleh dimasukkan agenda kita, tapi untuk program hiburan jadual kita boleh diubah dengan serta-merta.

Lucu ya...
Susahnya orang mengajak menyebarkan dakwah, tapi mudahnya orang menyertai dan menyebar gosip.

Lucu ya...
Semua orang mahu masuk syurga tanpa harus melakukan apa-apa mahupun beriman.

Lucu ya...
Kita boleh mengirimkan ribuan jenaka atau surat berantai melalui e-mail atau sms, tapi bila mengirim yang berkaitan ibadah dan tazkirah kita sering berfikir dua tiga kali.

RENUNG-RENUNG KAN WAHAI SAHABAT SEMUA.......^_^

Wednesday, 20 July 2011

CARA MENGENALI KEAIBAN DAN KELEMAHAN DIRI

1) Berguru. Cari guru yang boleh mengajar dan memperbaiki kesalahan serta sentiasa membimbing dan menegur kita.

2) Bergaul. Dalam pergaulan, kita belajar kebaikan akhlak dan keburukannya. Mana yang baik kita ambil dan yang buruk, kita jauhi. 

3) Berkawan. Cari kawan yang benar-benar ikhlas kerana Allah. Kawan yang ikhlas akan menegur kesalahan kita secara jujur. Manakala, kawan kerana manfaat dan kebendaan tidak akan menegur kesilapan. Malah, sekongkol dengan kesalahan, asalkan manfaat kita diperolehi. 

4) Musuh. Terima segala kutukan dan cercaan musuh dengan hati yang terbuka. Kita tak akan dapat maklumat sejujurnya tentang kelemahan diri melainkan daripada musuh kita. 

~Pesanan daripada Imam al-Ghazali~

Tuesday, 19 July 2011

JIKA AKU JATUH HATI

Monday, 18 July 2011

10 WASIAT IMAM HASSAN AL-BANNA

1.    Apabila mendengar azan, segeralah mendirikan solat walau dalam keadaan apa sekali pun.

2.   Bacalah al-Quran, tatapilah buku-buku, pergilah mendengar perkara-perkara yang baik, amalkanlah zikrullah, dan janganlah sama sekali membuang masa dengan perkara yang tidak berfaedah.

3.   Berusahalah sedaya upaya untuk bertutur dalam bahasa Arab yang betul kerana bahasa Arab yang betul itu, adalah satu-satunya syiar Islam.

4.   Janganlah banyak bertengkar kerana pertengkaran kosong tidak mendatangkan kebaikan.

5.   Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.

6.   Janganlah bergurau kerana umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara.

7.   Janganlah bercakap lebih nyaring daripada kadar yang diperlukan oleh pendengar kerana percakapan yang nyaring adalah resmi yang sia-sia dan boleh menyakiti hati orang.

8.   Jauhilah daripada mengumpat peribadi orang dan mengecam sesebuah; dan janganlah bercakap melainkan apa-apa yang boleh memberi kebajikan.

9.   Berkenal-kenalanlah dengan setiap Ikhwan Muslimin yang ditemui walaupun dia tidak meminta saudara berkenalan dengannya… asas gerakan dakwah kita ialah berkasih sayang dan berkenal-kenalan.

10.  Kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada; oleh itu tolonglah saudaramu agar mereka dapat menggunakan masa dengan berfaedah; dan jika anda mempunyai tugas sendiri, ringkaskanlah pelaksanaannya.

Sunday, 19 June 2011

MUJAHIDAH

Mujahidah...
Diceritakan Nabi pada Fatimah,
Tentang penglihatan baginda ketika mikraj,
Betapa isi neraka itu ramainya wanita,
Dengan linangan air mata.

Mujahidah...
Ikutilah jejak Khadijah,
Yang berkorban kerana Allah,
Yang bersama Nabi senang dan susah,
Yang perginya ditangisi Rasulullah.

Mujahidah...
Teladanilah Siti Aisyah,
Fatimah mahupun Masyitah,
Atau Rabiah kekasih Allah,
Atau yang diceritakan tinggi taatnya pada suami seperti Mutiah.

Mujahidah...
Contohilah Siti Hawa,
Yang berlari antara Safa dan Marwah,
Yang tinggi sabarnya kerana Allah.

Mujahidah...
Sesungguhnya mereka menjadi sejarah,
Antara orang-orang yang mendapat mardhiah.
Yang dijanjikan kebahagiaan akhirat.

Mujahidah...
Sabarlah dengan ujian dan dugaan,
Yakinlah pada ketentuan Tuhan,
Tiada ujian melebihi kemampuan
Sepertimana yang pernah dijanjikan.

Mujahidah...
Ada hikmah di sebalik ketentuan,
Ada kemanisan di sebalik kepahitan,
Ada sesuatu yang bakal diberikan,
Sabarlah menempuh segala dugaan.

Mujahidah...
Pasti ada yang bersamamu,
Yang akan selalu membantu,
Sepanjang zaman setiap waktu,
Tika tawa dan tika sendu.
 
 

Tuesday, 14 June 2011

MAKE-UP KECANTIKAN UNTUK MUSLIMAH

⊰♥⊱ Untuk kecantikan anda, bermake up lah ke salon Iman

⊰♥⊱ Hiasi mata dengan menundukkan pandangan,
⊰♥⊱ nescaya mata semakin bening dan jernih

⊰♥⊱ Warnai bibir dengan lipstik kejujuran,
⊰♥⊱ nescaya bibir semakin manis saja 


⊰♥⊱ Merahkan pipi dengan rasa malu,
⊰♥⊱ nescaya semakin menawan 


⊰♥⊱ Cucilah rambut dari segala pandangan liar dengan jilbab penutup yang rapat,
⊰♥⊱ nescaya akan aman 


⊰♥⊱ Bersihkan diri dari dosa dan kesalahan dengan sabun istighfar,
⊰♥⊱ nescaya semakin putih jiwa anda 



⊰♥⊱ Ikhlas dan hulurkan kasih sayang, nescaya semakin lembut hati anda

♥♥.•*´¨`*•. (`'•.¸ (`'•.¸*¤* ¸.•'´) ¸.•'´) .•*´¨`*•.♥♥

⊰♥⊱ Dari Abdullah bin Amru bahawasannya Rasulullah SAW bersabda :
''Dunia adalah perhiasan, sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah''.
( HR Muslim )
♥♥`*•.¸¸.•* (¸.•'´ (¸.•'´*¤* `'•.¸) `'•.¸) `*•.¸¸.•*♥♥

║(¯`v´¯)
║ `•.¸.•`
║¸.•´
║(¸¸.•¨¯`•» Salam Ukhuwah Fillah...

Monday, 30 May 2011

MENGAPA AKU?

Di saat aku melihat ramainya manusia yang rakus mengejar dunia,
Mengapa Kau pilih aku untuk sibuk mencari redhaMu?

Di saat aku melihat ramainya pemuda yang hilang jati dirinya,
Mengapa Kau pilih aku untuk menjadi insan yang membinanya?

Di saat aku memandang ributnya gelagat manusia berhibur,
Mengapa Kau pilih aku untuk diam ingat padaMu?

Di kala aku merasa kepingin untuk merasai nikmat di cinta dan mencinta,
Mengapa Kau pilih aku untuk mencari cintaMu?

Di saat diriku ini terlalu banyak dosa,
Mengapa aku yang kau pilih untuk segera bertaubat?

Di saat ramainya manusia merobohkan agama,
Mengapa aku juga yang Kau pilih sebagai kalangan yang membinanya?

Mengapa aku?

Aku banyak dosa...
Aku banyak maksiat...
Aku banyak ingkar...

Aku bukan orang yang layak!

Tapi mengapa aku dipilih?

Mengapa aku dilahirkan sebagai muslim?
Seingatku... Aku tak pernah pun meminta...

Mengapa aku dipilih untuk berdakwah?
Ah... Aku bukannya alim. Aku bukannya baik.
Aku banyak riak. Aku banyak sombong. Aku banyak ujub!

Tapi Tuhan... Mengapa masih aku yang Kau pilih?

Aku mahu, bahkan terlalu mahu jika diriku diazab di dunia ini. Segalanya kerana aku takut. Ya! Aku terlalu takut. Aku takut diazab di akhirat! Diriku tak layak untuk mencium bau syurga!

Tapi Tuhan... Aku tak kuat!

Aku lemah...

Di kala ujian dariMu datang...
Aku gagal. Bukan sekali, berkali-kali.

Aku malu Allah...

Aku segan. Aku malu dengan seluruh alam ini.

Di saat diriku dipandang mulia, rupanya di sebaliknya aku hina disisiMu...

Aku tak kuat bahkan terlalu ampuh hatiku...

Tuhan, jawablah... Mengapa aku?
Mengapa aku yang Kau pilih?

Tuhan..

Aku tak pandai bermadah... Juga tidak bijak menyusun kata...

Tapi ketahuilah...
Aku merayu...

Izinkan aku menumpang hidup sekali cuma...
Agar diriku, bisa mencintaiMu.

Terima kasih Tuhan...
Kerana memilih aku...

Terima kasih Ya Rabbi.

Dan kini... Hanya diriMu matlamatku.

Sekarang dan selamanya...

Thursday, 26 May 2011

BERSANGKA BAIKLAH

Sentiasa bersangka baik sesama insan...

Jika engkau bertemu dengan seseorang,
maka yakinilah bahawa dia lebih baik darimu. Ucapkan dalam hatimu :
"Mungkin kedudukannya di sisi Allah jauh lebih baik dan lebih tinggi dariku".

Jika bertemu anak kecil,
maka ucapkanlah (dalam hatimu) :
"Anak ini belum bermaksiat kepada Allah, sedangkan diriku telah banyak bermaksiat kepadaNya. Tentu anak ini jauh lebih baik dariku".

Jika bertemu orang tua,
maka ucapkanlah (dalam hatimu) :
"Dia telah beribadah kepada Allah jauh lebih lama dariku, tentu dia lebih baik dariku".

Jika bertemu dengan seorang yang berilmu,
maka ucapkanlah (dalam hatimu) :
"Orang ini memperoleh kurnia yang tidak akan kuperolehi, mencapai kedudukan yang tidak akan pernah kucapai, mengetahui apa yang tidak kuketahui dan dia mengamalkan ilmunya, tentu dia lebih baik dariku".

Jika bertemu dengan seorang yang bodoh,
maka katakanlah (dalam hatimu) :
"Orang ini bermaksiat kepada Allah kerana dia bodoh (tidak tahu), sedangkan aku bermaksiat kepadaNya padahal aku mengetahui akibatnya. Dan aku tidak tahu bagaimana akhir umurku dan umurnya kelak. Dia tentu lebih baik dariku".

Jika bertemu dengan orang kafir,
maka katakanlah (dalam hatimu) :
"Aku tidak tahu bagaimana keadaannya kelak, mungkin di akhir usianya dia memeluk Islam dan beramal soleh. Dan mungkin boleh jadi di akhir usia diriku kufur dan berbuat buruk".

BUAT GADIS KESAYANGANKU


Gadisku... 
Sesungguhnya kejadianmu terlalu unik, tercipta daripada tulang rusuk Adam yang bengkok menghiasi taman-taman indah lantas menjadi perhatian sang kumbang.
Kau umpama sekuntum bunga, harum aromamu bisa menarik perhatian sang kumbang untuk mendekatimu.
Namun...tidak semua bunga senang untuk didekati oleh sang kumbang lantaran duri yang memagari diri, umpama mawar merah, dari kejauhan sudah terhidu akan keharumannya serta panahan warnanya yang terserlah indah mengundang kekaguman kepada sang kumbang. 
Tapi awas... Duri yang melingkari dirinya bisa membuatkan sang kumbang berfikir beberapa kali sebelum mendekatinya.

Gadisku...
Aku suka sekirannya kau seperti mawar aspirasi setiap mujahadah.
Bentengilah kubu dirimu dengan perasaan malu yang bertunjangkan rasa keimanan dan keindahan taqwa kepada Allah.
Hiasilah wajahmu dengan titisan wudhuk.
Ingatlah bahawa cirri-ciri seorang wanita solehah ialah dia tidak melihat kepada lelaki dan lelaki tidak melihat kepadanya.
Sesuatu yang tertutup itu lebih berharga jika dibandingkan dengan sesuatu yang terdedah, umpama sebutir permata yang didedahkan untuk perhatian umum dengan permata yang diletakkan dalam satu bekas yang tertutup.
Sudah pasti keinginan diri kuat untuk melihat permata yang tersembunyi rapi tentulah melebihi daripada yang terdedah.
Wanita solehah yang taat dan patuh kepada Al-Khaliq dalam melayari liku-liku kehidupannya adalah harapan setiap insan yang bernama Adam.
Namun, segalanya memerlukan pengorbanan dan mujahadah yang tinggi kerana bertentangan dengan nafsu serakah yang bersarang di dalam dirimu lebih-lebih lagi 'title' gadis yang engkau miliki, sudah pastinya darah mudamu mencabar rasa keimanan yang ada.
Namun ingatlah gadisku, sesiapa yang inginkan kebaikan maka Allah pasti akan memudahkan baginya jalan-jalan kearah itu.
Yang paling penting gadisku engkau mestilah mempunyai azam, usaha dan istiqomah.

Gadisku...
Akuilah dirimu menjadi fitnah kepada kebanyakan lelaki.
Seandainya pakaian malumu kau tanggal dari tubuhmu maka sudah tidak ada lagi perisai yang dapat membentengimu.
Sesungguhnya Nabi S.A.W. ada mengatakan tentang bahaya dirimu, "Tidak ada suatu fitnah yang lebih besar yang lebih bermaharajalela selepas wafatku terhadap kaum lelaki selain fitnah yang berpunca daripada wanita".
Oleh itu gadisku, setiap langkah dan tindakanmu hendaklah berpaksikan kepada Al-Quran dan As-Sunnah.
Jangan biarkan orang lain mengeksploitasi dirimu untuk kepentingan tertentu.
Sesungguhnya Allah telah mengangkat martabatmu sebaris dengan kaum Adam, kau harapan ummah dalam melahirkan para mujahid dan mujahidah yang bisa menggoncangkan dunia dengan sentuhan lembut tanganmu.

Gadisku...
Dalam hidupmu engkau pastinya ingin disayangi dan menyayangi, itulah fitrah semulajadi setiap insan, namun ramai antara kaummu yang tewas kerana cinta.
Bercinta itu tidak salah, tetapi memuja cinta itu yang salah.
Ini kerana disebabkan cinta manusia sanggup menjual agama dan kerana cinta juga maruah tergadai.
Gejala murtad serta keruntuhan moral muda-mudi sebahagian besarnya kerana cinta.
Benarlah sabda Rasullullah S.A.W. yang membawa maksud, "Sesungguhnya cinta itu buta".
Cinta itu mampu membutakan mata dan hatimu dalam membezakan perkara yang hak dan batil jika engkau meletakkan cinta itu atas dasar nafsu dan bukan kerana Allah S.W.T.
Sebelum engkau mendekati cinta, cintailah dirimu terlebih dahulu, mengkaji hakikat kejadianmu yang begitu simbolik, yang berasal daripada setitis air yang tidak beharga lalu mengalami proses pembentukan yang direncanakan oleh Allah S.W.T.
Semoga itu mampu melahirkan rasa keagungan dan kehebatan terhadap Allah dan timbul rasa cinta dan kasih kepada Penciptamu.

Gadisku...
Menyintai Allah dan Rasul melebihi cinta terhadap makhluk adalah cinta hakiki dan abadi kerana hati yang pecah dan retak apabila diberikan kepada makhluk pastinya akan bertambah retak dan terburai.
Tetapi, apabila hatimu diserah kepada Allah sudah pasti akan bertaut kembali.
Dalam usia mudamu, sibukkanlah diri dengan ilmu yang mampu menajamkan akal dan mampu membina sahsiah muslimahmu.
Sesungguhnya ilmu itu cahaya dan tidak mampu bertapak dalam hati orang yang melakukan maksiat.
Akhir kalam, terimalah kata-kata seorang ahli sufi iaitu Rabiatul Adawiyah sebagai renungan bersama.

"Cintakan manusia itu tidak mewujudkan kabahagiaan yang hakiki untuk seorang insan dan ia tidak kekal abadi kerana manusia itu sering membuatkan seseorang kecewa, gagal, merasa terseksa.
Oleh itu, tiada suatu cinta pun yang dapat membuahkan kebahagiaan dan kenikmatan yang kekal abadi kecuali cinta kepada pencipta manusia itu sendiri..."

Tuesday, 24 May 2011

PILIHAN DI TANGAN ANDA

Jangan takut untuk menapak selangkah lagi, jangan segan menuju perubahan yang lebih baik dan pasti. Banggalah dengan cara hidup Islami. Tiada resipi kejayaan menghiasi. Tiada ramuan rahsia menemani, yang ada hanyalah kita sendiri.

Sama ada kita memilih yang 'itu' ataupun yang 'ini'. Jika kita yakin dengan diri sendiri, maka kita akan jadi manusia yang lebih hebat insya-Allah. Ambil cermin, cermin-cerminkan diri anda.

Itulah rahsia orang yang berjaya. Mereka melihat ke dalam cermin, dan apa yang mereka lihat adalah diri mereka sendiri. Ingatlah satu pepatah: Yesterday is history, tomorrow is mystery, but today is a gift. So, let's rise our daily life to its fullest!!!

MAHLIGAI KEBAHAGIAAN


Walaupun usia kita masih muda
Janganlah kita hanyut dalam arus dunia
Kerana ajal tiada mengenal 
Tua atau muda, umur dan usia...

Jikalau kita dipanjangkan usia 
Janganlah hingga lalai dan leka...
 
Bersyukurlah kita di atas segala 
Nikmat-Nya yang tidak terkira...

Awas dan waspada, jangan terpedaya 
Dengan godaan syaitan durjana...

Hawa nafsu yang kehausan 
Harus dileraikan dengan ketabahan...
 
Banyakkan ibadah, tambah saham akhirat 
Tingkatkan iman, amalkan ihsan...
 
Taman syurga melambai-lambai 
Kepada mereka yang telah berjaya...

Mereka di sana bersuka ria 
Di taman keindahan, mahligai kebahagiaan...
 
Jannatunnaim... Haruman raihan 
Nikmatnya air mata salsabil.

TUDUNG = TOPI KELEDAR?

Pakai tudung ini seperti pakai topi keledar...

Benarkah?

Ya. Topi keledar menjaga keselamatan nyawa. Tudung pula menjaga keselamatan akhlak.

Benarkah? Kalau begitu mengapa mereka yang bertudung masih tidak dapat menjaga akhlak?

Seperti topi keledar juga, Ada keadaan tertentu yang topi keledar tidak mampu menyelamatkan nyawa pemakainya. Pelumba haram, pemandu laju, pemandu cuai..Semuanya memakai topi keledar tetapi itu tidak dapat menyelamatkan nyawanya.

Maksudnya?

Ada yang lebih penting daripada sekadar memakai topi keledar. Antaranya memandu berhati-hati. jangan terlalu laju, mematuhi peraturan jalan raya dan sebagainya. Kaitannya dengan tudung, bertudung sahaja tidak cukup bahkan tingkahnya laku tidak liar, pergaulan terkawal, pandangan mata juga sentiasa dikawal. Sekiranya tidak, bertudung tidak mampu menjaga maruah dan akhlak.

Sekiranya begitu, di mana kelebihan bertudung?

Seperti topi keledar juga, ia memberi pelindungan sebab macam mana pun kita berhati-hati, mematuhi undang-undang kekadang berlaku juga kemalangan yang bukan disebabkan kecuaian sendiri tetapi kecuaian orang lain. Waktu itu siapa yang bertopi keledar, maka kuranglah sikit risikonya.

Tetapi tudung sekarang pelbagai fesyen?

Macam topi keledar juga. Ada macam-macam. Ada yang mengikut piawaian keselamatan. Ada yang tidak. Kekadang gaya sahaja yang lebih, bahannya rapuh. Yang malangnya, topi keledar sudah baik tetapi cara pakai pula tidak kena. Tali dibiarkan longgar dan main sangkut-sangkut sahaja.

Kaitannya?

Pakai tudung dan tutup aurat ini dua perkara berbeza. Ramai bertudung tetapi tidak menutup aurat. Tutup aurat ada konsep dan falsafahnya. Ia dibuat atas dasar iman dan cara perlaksanaan mengikut syariat dan tujuan akhirnya untuk mencapai akhlak. Tapi pakai tudung ini macam-macam. Mungkin niatnya mahu 'glamour', mahu cantik dan bergaya.

Jadi salahkah bertudung mahu cantik? Islam itu indah bukan?

Tidak salah tetapi yang utamanya adalah kerana Allah. Atas dasar iman. Kemudian dibuat mengikut syariat. Mana patut ditutup, maka ditutup. Labuhnya dan singkatnya mesti menepati kehendak syariat. Dengan itu barulah maruah wanita itu terpelihara. Dan InsyaAllah selamat dari gangguan.

Tapi kadangkala orang bertudung menghina orang tidak bertudung?

Orang bertudung mugkin boleh menghina orang tidak bertudung. Tetapi orang yang menutup aurat, jika dia benar-benar menghayati konsep menutup aurat, dia tidak akan sekali-kali memandang hina orang yang tidak bertudung.

Bagaimana pula orang yang tidak bertudung akhlaknya lebih baik daripada yang bertudung?

Ia umpama orang yang memandu dengan hemat dan cermat, tetapi tidak memakai topi keledar!

Wallahu'alam...

Thursday, 5 May 2011

10 SIFAT PERIBADI MUKMIN

10 ciri ini sebenarnya kalau ada pada diri kita, maka kehidupan kita akan menjadi teratur, bermakna dan kita akan menjadi lebih mudah mendekati Allah SWT.

Apakah 10 sifat itu? Mari kita lihat bersama-sama. Sifat-sifat yang dimaksudkan itu adalah :

1. Akidah yang Sejahtera : Apabila kita mempunyai akidah, pegangan yang benar dan jelas, maka mengharungi kehidupan bukanlah sesuatu yang sukar buat kita. Jika kita lelah, penat dan rasa gelisah, maka  kita yakin bahawa Allah sentiasa ada bersama kita. Jika kita mempunyai akidah yang sejahtera ini, kita juga akan mempunyai matlamat yang jelas serta perancangan hidup yang teratur kerana kita yakin Allah akan mengira setiap saat dalam kehidupan kita.

2. Ibadah yang Sahih : Ibadah yang sahih memudahkan kehidupan kita. Kita hidup mengharungi cabaran dan pelbagai mehnah. Dengan memahami tuntutan ibadah serta konsepnya yang sebenar, maka kita tidak akan tersasar daripada matlamat kehidupan kita. Apabila kita memandang kehidupan kita itu sendiri sebagai satu ibadah, maka kita akan terhindar daripada melakukan perkara yang sia-sia dan merosakkan.

3. Akhlak yang Mantap : Rasulullah itu sendiri diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. Dengan mempunyai akhlak yang mulia lagi mantap, peribadi kita akan terjaga serta darjat kita di kaca mata masyarakat bumi dan langit akan meningkat. Dengan akhlak kita yang mulia, sukar untuk timbul pergaduhan, sengketa dan sebagainya.

4. Luas Pengetahuan : Tanpa ilmu pengetahuan, manusia hanya akan menjadi hamba kepada manusia lain. Tetapi dengan ilmu pengetahuan, manusia akan berjaya menguasai dirinya, dan mendekatkan jiwanya kepada Allah. Dengan ilmu pengetahuan jugalah manusia memahami dan dapat berpegang teguh dengan keimanannya kepada Allah.

5. Sihat Badan : Badan yang sihat adalah antara tiang kebahagiaan hidup yang penting. Kita perlu menjaga kesihatan kita dan memberikan badan kita akan haknya.

6. Mampu Berdikari : Antara yang membuatkan kehidupan kita bermakna ialah, kita mengaut hasil daripada titik peluh kita sendiri dengan bantuan Allah SWT. Apabila kita tidak bergantung kepaada manusia lain, kita akan boleh menyusun hidup kita dengan baik dan mengaturnya dengan acuan kita sendiri.

7. Melawan Nafsu : Sebagai seorang yang ingin hidup dalam keadaan sejahtera dan selamat, maka kita hendaklah melepaskan diri daripada cengkaman hawa nafsu. Jika tidak, nafsu yang merupakan teman manusia sepanjang masa akan menjadikan kita sebagai hambanya. Dengan menentang nafsu kita, kehiduoan akan menjadi lebih bererti dan mendapat redha Ilahi.

8. Sangat Menjaga Masa : Allah ada menyatakan bahawa manusia itu ramai yang berada dalam kerugian kerana kealpaannya menjaga masa. Masa hakikatnya adalah seperti nyawa kita. Membazirkannya sama sahaja dengan membazirkan nyawa kita sendiri. Jika kita mengisi masa, bermaksud kita mengisi kehidupan kita. 

9. Tersusun Urusannya : Manusia yang tidak mempunyai perancangan sebenarnya sedang merancang untuk gagal. Jika kita mempunyai perancangan yang baik, masa kita tidak akan terbuang. Malah, keadaan kita lihat sempit, kalau kita mempunyai perancangan yang baik, maka kita akan nampak banyak peluang dan kerja yang boleh kita raih. Tersusun urusan juga akan melancarkan kehidupan dan menghindarkan kita daripada keserabutan.

10. Bermanfaat kepada Orang Lain : Apabila kita berjaya menjadikan diri kita bermafaat kepada orang lain, maka kehidupan kita akan menjadi lebih bermakna dan bahagia. Apabila kita bermanfaat kepada orang lain, maka masyarakat menyukai kita. Malah peluang untuk kita berubudiyyah kepada Allah akan menjadi lebih luas. Kita juga berpeluang besar menyebarkan Islam melalui peribadi kita.

Jika kita berjaya melengkapkan diri kita dengan 10 ciri-ciri ini, maka inshaALLAH, tidak mustahil untuk kita mencapai kehidupan yang bahagia, bermakna, tenang dan menyenangkan.

RAWAT PENYAKIT HATI DENGAN AMAL KEBAIKAN

Jika disebut melakukan amal kebaikan, pasti ada yang akan memberikan alasan bahawa melakukan kebaikan itu sukar dan payah. Tetapi sebenarnya tidak, ada banyak amal kebaikan yang mudah untuk kita lakukan sebagai permulaan. Contohnya :

  • Memberi salam
  • Senyum
  • Sedekah dalam jumlah yang sedikit
  • Mengutip sampah yang nampak
  • Membaca Al-Quran sehari sedikit (kalau terlampau malas, sehari satu ayat)
  • Berzikir (mudah, sebut dengan mulut atau zikir dalam hati, bila-bila boleh buat)
  • Istighfar (kaedah sebagaimana zikir)
  • Selawat ke atas nabi (mudah dan fadhilatnya amat besar)
  • Pelihara solat lima waktu
Jika kita istiqomah dalam melakukannya, inshaALLAH hati kita akan terpelihara, dan kehitaman hati akan tercuci. Buatlah kebaikan-kebaikan yang mudah ini terlebih dahulu. Kemudian, kekalkan prestasi dalam ibadah-ibadah ini, seterusnya kita mempertingkatkan diri dengan menambah amal-amal yang lain.

Jika kita menghampiri Allah selangkah, Allah akan menghampiri kita seribu langkah. Jika kita berjalan mendekatiNya, maka Dia akan berlari dengan pantas mendekati kita. InshaALLAH. Renung-renungkan dan selamat beramal.

Wednesday, 27 April 2011

TENTANG CINTA

Cintakan bunga . . . bunga kan layu
Cintakan manusia . . . manusia kan mati
Cintakan dunia . . . dunia kau tinggalkan pergi
Cintakan Ilahi . . . CINTA SEJATI

Hidupkan kami dalam cinta itu
Matikan kami dalam cinta itu
Pulangkan kami dengan cinta itu
Ke pangkuan-MU . . .



Katakanlah (Wahai Muhammad) : "Jika benar kamu mencintai Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mencintai kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu, dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani". (Al-Imran : 31)


HIJRAHKAN DIRI

Teman . . .
Hijrahlah kita perbaiki diri,
Sedarlah kita tugas dan amanah,
Janganlah lagi leka dan alpa,
Hanyut lemas dalam banjir dunia,
Mengikut telunjuk musuh utama,
Syaitan yang pasti dengan tugasnya,
Juga nafsu yang tidak dipandu ke arah cahaya.

Teman . . .
Hijrah pertama sebagai hamba,
Kenali dirimu sebenar-benarnya,
Ingat siapa Pencipta Berkuasa,
Ingat tugas tujuan penciptaan,
Untuk beribadat hanya padaNya,
Cukuplah dosa tinggi menggunung,
Cukuplah maksiat yang sering melambung,
Hijrahlah sekarang ke arah kebaikan,
Bertaubatlah kita sebelum terlambat,
Yakinlah kita akan hari pembalasan,
Bagi setiap yang kita perbuat,
Hatta sekecil zarah akan diperlihat,
Sebelum menyesal di hari kelak,
Agar bahagia dunia akhirat.

Teman . . .
Hijrah kedua dalam keluarga,
Cukuplah tangisan kesedihan yang kita berikan,
Cukuplah gurisan hati yang kita lakarkan,
Tidakkah kita tahu nilai pengorbanan,
Tidakkah kita tahu nilai kepahitan,
Tidakkah kita tahu payah dan lelah,
Dalam rangka membesarkan kita,
Dari kecil hingga dewasa,
Sedarlah kita bermula sekarang,
Balaslah nikmat yang Allah berikan,
Nikmat kasih sayang ayah dan bonda,
Sebelum ditarik suatu masa,
Baru kita mencari tidak tentu hala,
Tatkala hilang meninggalkan kita,
Atau kita yang dahulu meninggalkan mereka,
Berbuatlah kita sebelum terlambat,
Jaga diri dan juga keluarga,
Dari siksaan api neraka.

Teman . . .
Hijrah ketiga generasi muda,
Pelapis bangsa juga negara,
Namun apa yang penting pewaris agama,
Kita ada tugas dan amanah,
Untuk kita pikul bersama
Mari bersama kita berhijrah,
Untuk kita buktikan kepada dunia,
Kita bukan generasi perosak bangsa,
Kita bukan generasi rosak akhlaknya,
kita bukan generasi penghancur agama,
Kita bukan generasi meruntuh negara,
Tapi generasi yang bakal merubah,
Seperti ikan di lautan dunia,
Yang tidak masin ditenggelami lautan,
Yang mampu bertahan arus dunia,
Yang pasti akan kian mencabar,
Janganlah lagi kita sia-siakan,
Masa yang diberikan kepada kita,
Perbaiki diri secara total,
Agar tegar menempuh segalanya.

Teman . . .
Hijrah keempat dalam kemajuan,
Kemajuan diri di puncak dunia,
Mari berjuang mengumpul cahaya,
Iaitu ilmu yang bakal bersinar,
Ilmu yang bermanfaat dunia akhirat,
Kerana kita tahu ia suatu jihad,
Juga ibadat kepada kita,
Dengan syarat ikhlaskan niat,
Segalanya sebagai pengabdian padaNya,
Kerana memang tidak berguna ilmu tanpa amal,
Namun lebih bahaya amal tanpa ilmu di dada,
Berjuanglah kita perkasa ilmu,
Inilah medan jihad buat generasi muda,
Bagi mengharap keredhaan dariNya,
Nescaya kita bahagia dalam suka dan duka,
Bila segalanya berlandaskan hanya untukNya,
Hanya usaha terbaik kita lantunkan,
Seterusnya berserah hanya padaNya,
Sebagai lambang cinta kepada Pencipta.

Teman . . .
Hijrah bukan semudah disangka,
Pasti ada onak dan duri,
Tidak akan dibiarkan begitu sahaja,
Kita harus ada rancangan dan strategi,
Seperti yang dibuat Rasulullah s.a.w. sendiri,
Namun apa yang pasti,
Semuanya terpulang pada diri sendiri,
Semuanya terpulang pada sikap di hati,
Untuk berhijrah perbaiki diri,
Meletakkan azam di tahun baru ini,
Meletakkan visi yang jauh menjangkau,
Visi terjauh satu yang pasti,
Ingin melihat wajah Allah Al-Azim,
Visi pertengahan membina tamadun,
Tamadun yang tahu tahapan cinta sebenar,
Tamadun yang mengembalikan kegemilangan umat,
Dengan izin yang Maha Kuasa,
Visi terdekat penyuntik semangat,
Melakukan terbaik merealisasi mimpi,
Mencapai kejayaan dan cita-cita yang suci,
Yang tidak lari dari jangka masa visi yang lain,
Saling berlandaskan di jalur yang sama,
Agar terus selamat meneraju realiti.


KENAPA BERTUDUNG?



Adik : Assalamu’alaikum kak. Adik mahu tanya sikit.
Kakak : Wa'alaikumussalam. Ada apa dik?
Adik : Kenapa kena pakai tudung? Orang yang bertudung pun ada yang kena kacau lelaki?
Kakak : Mengapa pakai tudung? Sudah tentu sebab ia adalah suruhan wajib Allah dik. Itu mesti adik tahu kan.
Adik : Yup. Adik tahu. Tapi kawan adik tanya.
Kakak : Orang bertudung ada juga kena kacau lelaki. Kita bukan salahkan tudung, tapi salahkan pemakai tudung serta pengacau tersebut. Walaupun memang sepatutnya tudung membuatkan kita terpelihara, tapi tengok juga cara kita pakai tudung, kekadang lebih mengancam daripada yang tidak pakai tudung. Situasi lain pula, bila kita pakai tudung tutup keseluruhannya, bermaksud yang sempurna, kita tetap juga akan dikacau sebab ianya pelik bagi mereka.
Adik : Owh. Betul3. Hehe. Tapi kak... Macam mana mahu sampaikan dengan kawan adik?
Kakak : Bagaimana mahu disampaikan benda ni pada kawan-kawan remaja?.
Adik : Ya kak. Susah mahu tegur dorang.
Kakak : Kita tidak payah beria-ia sangat mahu direct tegur. Kita dalam nak menegur sesuatu kesalahan, better dahulukan dengan amal yang lain. Contoh kita tidak akan terus minta dia pakai tudung, kita mulakan dengan belajar mengaji ke atau baca yasin. Sekali lagi, tidak payah tegur terus mengenai kesalahan dia tak pakai tudung atau tudung tidak sempurna. Kita offer benda lain, biar dia dekat dengan Allah dan biar hatinya dilembutkan dahulu.
Adik : Owh. Lagi kak?
Kakak : Tapi ini proses yang pnjang, bila dah makin ok hatinya, kekadang dia sendiri yang terasa nak bertudung, kalau tidak pun dia sendiri akan lama-lama faham bila kita selitkan sikit demi sedikit.
Adik : Wah. Berhikmah juga kan. Tapi kalau mau direct tidak boleh ke kak?
Kakak : Semangat juga adik akak ni. Hehe. Kalau mahu direct pun boleh try, tapi sebelum disampaikan, buka dulu dengan cerita lain, contoh pengharaman khinzir, yang pernah kakak inform adik dulu, cakap khinzir islamik tu, yang dah disamak, diwudhu’, dimandikan, bahkan dipakai telekung lagi, tapi tetap haram, bermaksud, perintah Allah semua wajib dilakukan. Baru kaitkan dengan menutup aurat. Lepas tu, raikan dia cakap, apapun, pelan2 la, sikit-sikit, yang penting kita sebenarnya nak berubah, tapi pelan2. Tidak apa, yang penting kita mahu berubah.
Adik : Owh. I see. I see. Hurm... Adik dah tau apa mahu buat.
Kakak : Hah... Mahu buat apa la tu?
Adik : Nak buat yang indirect la.
Kakak : Cara lain macam biasa la, edar artikel mengenai menutup aurat. Azab tidak menutup aurat, tapi sekali lagi, indirect ya. Jangan khususkn artikel tu kepada dia seorang. Biar semua orang dapat, jangan sampai dia terasa yang dia yang kita target. Kalau boleh jangan biar dia tahu kita yang buat. Contoh kalau FB, kita buat akaun baru yang khas untuk tegur orang. Tapi kita tag pada ramai2 orang.
Adik : Hah, ini lagi senang. InsyaAllah.
Kakak : InsyaAllah. Ada apa lagi dik?
Adik : Hurm... Tapi teruk la muslimah hari ni. Apa lagi yang boleh adik sampaikan?
Kakak : Terang je yang sepatutnya. Salah satu kewajipan setiap muslimah. Tujuan dia untuk menjaga diri. Tapi dunia hari ni berbeza, yang pakai tudung pun tidak membawa kepentingan tudung tu yang sepatutnya. Itu lah kita boleh tengok natijah dari pemakaian tudung tiada sama sekali. Islam adalah agama pencegahan yang utama. Contoh kita dilarang mendekati zina. Dekat pun tidak boleh. Salah satunya menunjukkan bahagian badan yang tak sepatutnya adalah jalan mendekati zina atau membuatkan orang lain terasa ingin berzina. Begitu juga kita diminta menjaga pandangan, cegah dahulu. Banyak lagi perintah-perintah yang menekankan pencegahan yang utama.
Adik  : Wah. Ya tak ya juga kan. Pencegahan lebih baik dari mengubati.
Kakak : Yup. Hebat dah adik akak ni.
Adik : Hehe. InsyaAllah. Ok. Lain kali adik tanya akak lagi.
Kakak : InsyaAllah.
Adik : Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Kakak : Wa'alaikumsalam warahmatullahi wabarakatuh.

Tuesday, 26 April 2011

BERGURU DENGAN POKOK SEMALU

Rasulullah pernah berkata kepada puteri kesayangannya, Fatimah bahawa pokok semalu itu berkait rapat dengan wanita. Wanita hendaklah mengambil pengajaran daripada pokok semalu ini melalui empat perkara iaitu :
  • Pokok semalu akan kuncup apabila disentuh. Ini ibarat wanita perlu mempunyai perasaan malu yang bertempat.
  • Pokok semalu mempunyai duri yang tajam untuk mempertahankan dirinya. Oleh itu, wanita perlu tahu mempertahankan diri dan maruah sebagai wanita.

  • Pokok semalu juga mempunyai akar tunjang yang kuat dan mencengkam bumi. Oleh itu, wanita perlu kuat dan tabah untuk menghadapi setiap dugaan dalam kehidupan serta mempunyai ikatan yang kuat dengan Allah s.w.t di samping sentiasa berharap dan meminta pertolongan daripada Allah s.w.t.

  • Pokok semalu akan kuncup dengan sendirinya bila senja menjelma. Maka, para wanita sekalian kembalilah ke rumahmu ketika senja menjelang.