BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, 24 May 2011

TUDUNG = TOPI KELEDAR?

Pakai tudung ini seperti pakai topi keledar...

Benarkah?

Ya. Topi keledar menjaga keselamatan nyawa. Tudung pula menjaga keselamatan akhlak.

Benarkah? Kalau begitu mengapa mereka yang bertudung masih tidak dapat menjaga akhlak?

Seperti topi keledar juga, Ada keadaan tertentu yang topi keledar tidak mampu menyelamatkan nyawa pemakainya. Pelumba haram, pemandu laju, pemandu cuai..Semuanya memakai topi keledar tetapi itu tidak dapat menyelamatkan nyawanya.

Maksudnya?

Ada yang lebih penting daripada sekadar memakai topi keledar. Antaranya memandu berhati-hati. jangan terlalu laju, mematuhi peraturan jalan raya dan sebagainya. Kaitannya dengan tudung, bertudung sahaja tidak cukup bahkan tingkahnya laku tidak liar, pergaulan terkawal, pandangan mata juga sentiasa dikawal. Sekiranya tidak, bertudung tidak mampu menjaga maruah dan akhlak.

Sekiranya begitu, di mana kelebihan bertudung?

Seperti topi keledar juga, ia memberi pelindungan sebab macam mana pun kita berhati-hati, mematuhi undang-undang kekadang berlaku juga kemalangan yang bukan disebabkan kecuaian sendiri tetapi kecuaian orang lain. Waktu itu siapa yang bertopi keledar, maka kuranglah sikit risikonya.

Tetapi tudung sekarang pelbagai fesyen?

Macam topi keledar juga. Ada macam-macam. Ada yang mengikut piawaian keselamatan. Ada yang tidak. Kekadang gaya sahaja yang lebih, bahannya rapuh. Yang malangnya, topi keledar sudah baik tetapi cara pakai pula tidak kena. Tali dibiarkan longgar dan main sangkut-sangkut sahaja.

Kaitannya?

Pakai tudung dan tutup aurat ini dua perkara berbeza. Ramai bertudung tetapi tidak menutup aurat. Tutup aurat ada konsep dan falsafahnya. Ia dibuat atas dasar iman dan cara perlaksanaan mengikut syariat dan tujuan akhirnya untuk mencapai akhlak. Tapi pakai tudung ini macam-macam. Mungkin niatnya mahu 'glamour', mahu cantik dan bergaya.

Jadi salahkah bertudung mahu cantik? Islam itu indah bukan?

Tidak salah tetapi yang utamanya adalah kerana Allah. Atas dasar iman. Kemudian dibuat mengikut syariat. Mana patut ditutup, maka ditutup. Labuhnya dan singkatnya mesti menepati kehendak syariat. Dengan itu barulah maruah wanita itu terpelihara. Dan InsyaAllah selamat dari gangguan.

Tapi kadangkala orang bertudung menghina orang tidak bertudung?

Orang bertudung mugkin boleh menghina orang tidak bertudung. Tetapi orang yang menutup aurat, jika dia benar-benar menghayati konsep menutup aurat, dia tidak akan sekali-kali memandang hina orang yang tidak bertudung.

Bagaimana pula orang yang tidak bertudung akhlaknya lebih baik daripada yang bertudung?

Ia umpama orang yang memandu dengan hemat dan cermat, tetapi tidak memakai topi keledar!

Wallahu'alam...

Thursday, 5 May 2011

10 SIFAT PERIBADI MUKMIN

10 ciri ini sebenarnya kalau ada pada diri kita, maka kehidupan kita akan menjadi teratur, bermakna dan kita akan menjadi lebih mudah mendekati Allah SWT.

Apakah 10 sifat itu? Mari kita lihat bersama-sama. Sifat-sifat yang dimaksudkan itu adalah :

1. Akidah yang Sejahtera : Apabila kita mempunyai akidah, pegangan yang benar dan jelas, maka mengharungi kehidupan bukanlah sesuatu yang sukar buat kita. Jika kita lelah, penat dan rasa gelisah, maka  kita yakin bahawa Allah sentiasa ada bersama kita. Jika kita mempunyai akidah yang sejahtera ini, kita juga akan mempunyai matlamat yang jelas serta perancangan hidup yang teratur kerana kita yakin Allah akan mengira setiap saat dalam kehidupan kita.

2. Ibadah yang Sahih : Ibadah yang sahih memudahkan kehidupan kita. Kita hidup mengharungi cabaran dan pelbagai mehnah. Dengan memahami tuntutan ibadah serta konsepnya yang sebenar, maka kita tidak akan tersasar daripada matlamat kehidupan kita. Apabila kita memandang kehidupan kita itu sendiri sebagai satu ibadah, maka kita akan terhindar daripada melakukan perkara yang sia-sia dan merosakkan.

3. Akhlak yang Mantap : Rasulullah itu sendiri diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. Dengan mempunyai akhlak yang mulia lagi mantap, peribadi kita akan terjaga serta darjat kita di kaca mata masyarakat bumi dan langit akan meningkat. Dengan akhlak kita yang mulia, sukar untuk timbul pergaduhan, sengketa dan sebagainya.

4. Luas Pengetahuan : Tanpa ilmu pengetahuan, manusia hanya akan menjadi hamba kepada manusia lain. Tetapi dengan ilmu pengetahuan, manusia akan berjaya menguasai dirinya, dan mendekatkan jiwanya kepada Allah. Dengan ilmu pengetahuan jugalah manusia memahami dan dapat berpegang teguh dengan keimanannya kepada Allah.

5. Sihat Badan : Badan yang sihat adalah antara tiang kebahagiaan hidup yang penting. Kita perlu menjaga kesihatan kita dan memberikan badan kita akan haknya.

6. Mampu Berdikari : Antara yang membuatkan kehidupan kita bermakna ialah, kita mengaut hasil daripada titik peluh kita sendiri dengan bantuan Allah SWT. Apabila kita tidak bergantung kepaada manusia lain, kita akan boleh menyusun hidup kita dengan baik dan mengaturnya dengan acuan kita sendiri.

7. Melawan Nafsu : Sebagai seorang yang ingin hidup dalam keadaan sejahtera dan selamat, maka kita hendaklah melepaskan diri daripada cengkaman hawa nafsu. Jika tidak, nafsu yang merupakan teman manusia sepanjang masa akan menjadikan kita sebagai hambanya. Dengan menentang nafsu kita, kehiduoan akan menjadi lebih bererti dan mendapat redha Ilahi.

8. Sangat Menjaga Masa : Allah ada menyatakan bahawa manusia itu ramai yang berada dalam kerugian kerana kealpaannya menjaga masa. Masa hakikatnya adalah seperti nyawa kita. Membazirkannya sama sahaja dengan membazirkan nyawa kita sendiri. Jika kita mengisi masa, bermaksud kita mengisi kehidupan kita. 

9. Tersusun Urusannya : Manusia yang tidak mempunyai perancangan sebenarnya sedang merancang untuk gagal. Jika kita mempunyai perancangan yang baik, masa kita tidak akan terbuang. Malah, keadaan kita lihat sempit, kalau kita mempunyai perancangan yang baik, maka kita akan nampak banyak peluang dan kerja yang boleh kita raih. Tersusun urusan juga akan melancarkan kehidupan dan menghindarkan kita daripada keserabutan.

10. Bermanfaat kepada Orang Lain : Apabila kita berjaya menjadikan diri kita bermafaat kepada orang lain, maka kehidupan kita akan menjadi lebih bermakna dan bahagia. Apabila kita bermanfaat kepada orang lain, maka masyarakat menyukai kita. Malah peluang untuk kita berubudiyyah kepada Allah akan menjadi lebih luas. Kita juga berpeluang besar menyebarkan Islam melalui peribadi kita.

Jika kita berjaya melengkapkan diri kita dengan 10 ciri-ciri ini, maka inshaALLAH, tidak mustahil untuk kita mencapai kehidupan yang bahagia, bermakna, tenang dan menyenangkan.

RAWAT PENYAKIT HATI DENGAN AMAL KEBAIKAN

Jika disebut melakukan amal kebaikan, pasti ada yang akan memberikan alasan bahawa melakukan kebaikan itu sukar dan payah. Tetapi sebenarnya tidak, ada banyak amal kebaikan yang mudah untuk kita lakukan sebagai permulaan. Contohnya :

  • Memberi salam
  • Senyum
  • Sedekah dalam jumlah yang sedikit
  • Mengutip sampah yang nampak
  • Membaca Al-Quran sehari sedikit (kalau terlampau malas, sehari satu ayat)
  • Berzikir (mudah, sebut dengan mulut atau zikir dalam hati, bila-bila boleh buat)
  • Istighfar (kaedah sebagaimana zikir)
  • Selawat ke atas nabi (mudah dan fadhilatnya amat besar)
  • Pelihara solat lima waktu
Jika kita istiqomah dalam melakukannya, inshaALLAH hati kita akan terpelihara, dan kehitaman hati akan tercuci. Buatlah kebaikan-kebaikan yang mudah ini terlebih dahulu. Kemudian, kekalkan prestasi dalam ibadah-ibadah ini, seterusnya kita mempertingkatkan diri dengan menambah amal-amal yang lain.

Jika kita menghampiri Allah selangkah, Allah akan menghampiri kita seribu langkah. Jika kita berjalan mendekatiNya, maka Dia akan berlari dengan pantas mendekati kita. InshaALLAH. Renung-renungkan dan selamat beramal.

Wednesday, 27 April 2011

TENTANG CINTA

Cintakan bunga . . . bunga kan layu
Cintakan manusia . . . manusia kan mati
Cintakan dunia . . . dunia kau tinggalkan pergi
Cintakan Ilahi . . . CINTA SEJATI

Hidupkan kami dalam cinta itu
Matikan kami dalam cinta itu
Pulangkan kami dengan cinta itu
Ke pangkuan-MU . . .



Katakanlah (Wahai Muhammad) : "Jika benar kamu mencintai Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mencintai kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu, dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani". (Al-Imran : 31)


HIJRAHKAN DIRI

Teman . . .
Hijrahlah kita perbaiki diri,
Sedarlah kita tugas dan amanah,
Janganlah lagi leka dan alpa,
Hanyut lemas dalam banjir dunia,
Mengikut telunjuk musuh utama,
Syaitan yang pasti dengan tugasnya,
Juga nafsu yang tidak dipandu ke arah cahaya.

Teman . . .
Hijrah pertama sebagai hamba,
Kenali dirimu sebenar-benarnya,
Ingat siapa Pencipta Berkuasa,
Ingat tugas tujuan penciptaan,
Untuk beribadat hanya padaNya,
Cukuplah dosa tinggi menggunung,
Cukuplah maksiat yang sering melambung,
Hijrahlah sekarang ke arah kebaikan,
Bertaubatlah kita sebelum terlambat,
Yakinlah kita akan hari pembalasan,
Bagi setiap yang kita perbuat,
Hatta sekecil zarah akan diperlihat,
Sebelum menyesal di hari kelak,
Agar bahagia dunia akhirat.

Teman . . .
Hijrah kedua dalam keluarga,
Cukuplah tangisan kesedihan yang kita berikan,
Cukuplah gurisan hati yang kita lakarkan,
Tidakkah kita tahu nilai pengorbanan,
Tidakkah kita tahu nilai kepahitan,
Tidakkah kita tahu payah dan lelah,
Dalam rangka membesarkan kita,
Dari kecil hingga dewasa,
Sedarlah kita bermula sekarang,
Balaslah nikmat yang Allah berikan,
Nikmat kasih sayang ayah dan bonda,
Sebelum ditarik suatu masa,
Baru kita mencari tidak tentu hala,
Tatkala hilang meninggalkan kita,
Atau kita yang dahulu meninggalkan mereka,
Berbuatlah kita sebelum terlambat,
Jaga diri dan juga keluarga,
Dari siksaan api neraka.

Teman . . .
Hijrah ketiga generasi muda,
Pelapis bangsa juga negara,
Namun apa yang penting pewaris agama,
Kita ada tugas dan amanah,
Untuk kita pikul bersama
Mari bersama kita berhijrah,
Untuk kita buktikan kepada dunia,
Kita bukan generasi perosak bangsa,
Kita bukan generasi rosak akhlaknya,
kita bukan generasi penghancur agama,
Kita bukan generasi meruntuh negara,
Tapi generasi yang bakal merubah,
Seperti ikan di lautan dunia,
Yang tidak masin ditenggelami lautan,
Yang mampu bertahan arus dunia,
Yang pasti akan kian mencabar,
Janganlah lagi kita sia-siakan,
Masa yang diberikan kepada kita,
Perbaiki diri secara total,
Agar tegar menempuh segalanya.

Teman . . .
Hijrah keempat dalam kemajuan,
Kemajuan diri di puncak dunia,
Mari berjuang mengumpul cahaya,
Iaitu ilmu yang bakal bersinar,
Ilmu yang bermanfaat dunia akhirat,
Kerana kita tahu ia suatu jihad,
Juga ibadat kepada kita,
Dengan syarat ikhlaskan niat,
Segalanya sebagai pengabdian padaNya,
Kerana memang tidak berguna ilmu tanpa amal,
Namun lebih bahaya amal tanpa ilmu di dada,
Berjuanglah kita perkasa ilmu,
Inilah medan jihad buat generasi muda,
Bagi mengharap keredhaan dariNya,
Nescaya kita bahagia dalam suka dan duka,
Bila segalanya berlandaskan hanya untukNya,
Hanya usaha terbaik kita lantunkan,
Seterusnya berserah hanya padaNya,
Sebagai lambang cinta kepada Pencipta.

Teman . . .
Hijrah bukan semudah disangka,
Pasti ada onak dan duri,
Tidak akan dibiarkan begitu sahaja,
Kita harus ada rancangan dan strategi,
Seperti yang dibuat Rasulullah s.a.w. sendiri,
Namun apa yang pasti,
Semuanya terpulang pada diri sendiri,
Semuanya terpulang pada sikap di hati,
Untuk berhijrah perbaiki diri,
Meletakkan azam di tahun baru ini,
Meletakkan visi yang jauh menjangkau,
Visi terjauh satu yang pasti,
Ingin melihat wajah Allah Al-Azim,
Visi pertengahan membina tamadun,
Tamadun yang tahu tahapan cinta sebenar,
Tamadun yang mengembalikan kegemilangan umat,
Dengan izin yang Maha Kuasa,
Visi terdekat penyuntik semangat,
Melakukan terbaik merealisasi mimpi,
Mencapai kejayaan dan cita-cita yang suci,
Yang tidak lari dari jangka masa visi yang lain,
Saling berlandaskan di jalur yang sama,
Agar terus selamat meneraju realiti.


KENAPA BERTUDUNG?



Adik : Assalamu’alaikum kak. Adik mahu tanya sikit.
Kakak : Wa'alaikumussalam. Ada apa dik?
Adik : Kenapa kena pakai tudung? Orang yang bertudung pun ada yang kena kacau lelaki?
Kakak : Mengapa pakai tudung? Sudah tentu sebab ia adalah suruhan wajib Allah dik. Itu mesti adik tahu kan.
Adik : Yup. Adik tahu. Tapi kawan adik tanya.
Kakak : Orang bertudung ada juga kena kacau lelaki. Kita bukan salahkan tudung, tapi salahkan pemakai tudung serta pengacau tersebut. Walaupun memang sepatutnya tudung membuatkan kita terpelihara, tapi tengok juga cara kita pakai tudung, kekadang lebih mengancam daripada yang tidak pakai tudung. Situasi lain pula, bila kita pakai tudung tutup keseluruhannya, bermaksud yang sempurna, kita tetap juga akan dikacau sebab ianya pelik bagi mereka.
Adik : Owh. Betul3. Hehe. Tapi kak... Macam mana mahu sampaikan dengan kawan adik?
Kakak : Bagaimana mahu disampaikan benda ni pada kawan-kawan remaja?.
Adik : Ya kak. Susah mahu tegur dorang.
Kakak : Kita tidak payah beria-ia sangat mahu direct tegur. Kita dalam nak menegur sesuatu kesalahan, better dahulukan dengan amal yang lain. Contoh kita tidak akan terus minta dia pakai tudung, kita mulakan dengan belajar mengaji ke atau baca yasin. Sekali lagi, tidak payah tegur terus mengenai kesalahan dia tak pakai tudung atau tudung tidak sempurna. Kita offer benda lain, biar dia dekat dengan Allah dan biar hatinya dilembutkan dahulu.
Adik : Owh. Lagi kak?
Kakak : Tapi ini proses yang pnjang, bila dah makin ok hatinya, kekadang dia sendiri yang terasa nak bertudung, kalau tidak pun dia sendiri akan lama-lama faham bila kita selitkan sikit demi sedikit.
Adik : Wah. Berhikmah juga kan. Tapi kalau mau direct tidak boleh ke kak?
Kakak : Semangat juga adik akak ni. Hehe. Kalau mahu direct pun boleh try, tapi sebelum disampaikan, buka dulu dengan cerita lain, contoh pengharaman khinzir, yang pernah kakak inform adik dulu, cakap khinzir islamik tu, yang dah disamak, diwudhu’, dimandikan, bahkan dipakai telekung lagi, tapi tetap haram, bermaksud, perintah Allah semua wajib dilakukan. Baru kaitkan dengan menutup aurat. Lepas tu, raikan dia cakap, apapun, pelan2 la, sikit-sikit, yang penting kita sebenarnya nak berubah, tapi pelan2. Tidak apa, yang penting kita mahu berubah.
Adik : Owh. I see. I see. Hurm... Adik dah tau apa mahu buat.
Kakak : Hah... Mahu buat apa la tu?
Adik : Nak buat yang indirect la.
Kakak : Cara lain macam biasa la, edar artikel mengenai menutup aurat. Azab tidak menutup aurat, tapi sekali lagi, indirect ya. Jangan khususkn artikel tu kepada dia seorang. Biar semua orang dapat, jangan sampai dia terasa yang dia yang kita target. Kalau boleh jangan biar dia tahu kita yang buat. Contoh kalau FB, kita buat akaun baru yang khas untuk tegur orang. Tapi kita tag pada ramai2 orang.
Adik : Hah, ini lagi senang. InsyaAllah.
Kakak : InsyaAllah. Ada apa lagi dik?
Adik : Hurm... Tapi teruk la muslimah hari ni. Apa lagi yang boleh adik sampaikan?
Kakak : Terang je yang sepatutnya. Salah satu kewajipan setiap muslimah. Tujuan dia untuk menjaga diri. Tapi dunia hari ni berbeza, yang pakai tudung pun tidak membawa kepentingan tudung tu yang sepatutnya. Itu lah kita boleh tengok natijah dari pemakaian tudung tiada sama sekali. Islam adalah agama pencegahan yang utama. Contoh kita dilarang mendekati zina. Dekat pun tidak boleh. Salah satunya menunjukkan bahagian badan yang tak sepatutnya adalah jalan mendekati zina atau membuatkan orang lain terasa ingin berzina. Begitu juga kita diminta menjaga pandangan, cegah dahulu. Banyak lagi perintah-perintah yang menekankan pencegahan yang utama.
Adik  : Wah. Ya tak ya juga kan. Pencegahan lebih baik dari mengubati.
Kakak : Yup. Hebat dah adik akak ni.
Adik : Hehe. InsyaAllah. Ok. Lain kali adik tanya akak lagi.
Kakak : InsyaAllah.
Adik : Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Kakak : Wa'alaikumsalam warahmatullahi wabarakatuh.

Tuesday, 26 April 2011

BERGURU DENGAN POKOK SEMALU

Rasulullah pernah berkata kepada puteri kesayangannya, Fatimah bahawa pokok semalu itu berkait rapat dengan wanita. Wanita hendaklah mengambil pengajaran daripada pokok semalu ini melalui empat perkara iaitu :
  • Pokok semalu akan kuncup apabila disentuh. Ini ibarat wanita perlu mempunyai perasaan malu yang bertempat.
  • Pokok semalu mempunyai duri yang tajam untuk mempertahankan dirinya. Oleh itu, wanita perlu tahu mempertahankan diri dan maruah sebagai wanita.

  • Pokok semalu juga mempunyai akar tunjang yang kuat dan mencengkam bumi. Oleh itu, wanita perlu kuat dan tabah untuk menghadapi setiap dugaan dalam kehidupan serta mempunyai ikatan yang kuat dengan Allah s.w.t di samping sentiasa berharap dan meminta pertolongan daripada Allah s.w.t.

  • Pokok semalu akan kuncup dengan sendirinya bila senja menjelma. Maka, para wanita sekalian kembalilah ke rumahmu ketika senja menjelang.