BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, 26 May 2011

BERSANGKA BAIKLAH

Sentiasa bersangka baik sesama insan...

Jika engkau bertemu dengan seseorang,
maka yakinilah bahawa dia lebih baik darimu. Ucapkan dalam hatimu :
"Mungkin kedudukannya di sisi Allah jauh lebih baik dan lebih tinggi dariku".

Jika bertemu anak kecil,
maka ucapkanlah (dalam hatimu) :
"Anak ini belum bermaksiat kepada Allah, sedangkan diriku telah banyak bermaksiat kepadaNya. Tentu anak ini jauh lebih baik dariku".

Jika bertemu orang tua,
maka ucapkanlah (dalam hatimu) :
"Dia telah beribadah kepada Allah jauh lebih lama dariku, tentu dia lebih baik dariku".

Jika bertemu dengan seorang yang berilmu,
maka ucapkanlah (dalam hatimu) :
"Orang ini memperoleh kurnia yang tidak akan kuperolehi, mencapai kedudukan yang tidak akan pernah kucapai, mengetahui apa yang tidak kuketahui dan dia mengamalkan ilmunya, tentu dia lebih baik dariku".

Jika bertemu dengan seorang yang bodoh,
maka katakanlah (dalam hatimu) :
"Orang ini bermaksiat kepada Allah kerana dia bodoh (tidak tahu), sedangkan aku bermaksiat kepadaNya padahal aku mengetahui akibatnya. Dan aku tidak tahu bagaimana akhir umurku dan umurnya kelak. Dia tentu lebih baik dariku".

Jika bertemu dengan orang kafir,
maka katakanlah (dalam hatimu) :
"Aku tidak tahu bagaimana keadaannya kelak, mungkin di akhir usianya dia memeluk Islam dan beramal soleh. Dan mungkin boleh jadi di akhir usia diriku kufur dan berbuat buruk".

BUAT GADIS KESAYANGANKU


Gadisku... 
Sesungguhnya kejadianmu terlalu unik, tercipta daripada tulang rusuk Adam yang bengkok menghiasi taman-taman indah lantas menjadi perhatian sang kumbang.
Kau umpama sekuntum bunga, harum aromamu bisa menarik perhatian sang kumbang untuk mendekatimu.
Namun...tidak semua bunga senang untuk didekati oleh sang kumbang lantaran duri yang memagari diri, umpama mawar merah, dari kejauhan sudah terhidu akan keharumannya serta panahan warnanya yang terserlah indah mengundang kekaguman kepada sang kumbang. 
Tapi awas... Duri yang melingkari dirinya bisa membuatkan sang kumbang berfikir beberapa kali sebelum mendekatinya.

Gadisku...
Aku suka sekirannya kau seperti mawar aspirasi setiap mujahadah.
Bentengilah kubu dirimu dengan perasaan malu yang bertunjangkan rasa keimanan dan keindahan taqwa kepada Allah.
Hiasilah wajahmu dengan titisan wudhuk.
Ingatlah bahawa cirri-ciri seorang wanita solehah ialah dia tidak melihat kepada lelaki dan lelaki tidak melihat kepadanya.
Sesuatu yang tertutup itu lebih berharga jika dibandingkan dengan sesuatu yang terdedah, umpama sebutir permata yang didedahkan untuk perhatian umum dengan permata yang diletakkan dalam satu bekas yang tertutup.
Sudah pasti keinginan diri kuat untuk melihat permata yang tersembunyi rapi tentulah melebihi daripada yang terdedah.
Wanita solehah yang taat dan patuh kepada Al-Khaliq dalam melayari liku-liku kehidupannya adalah harapan setiap insan yang bernama Adam.
Namun, segalanya memerlukan pengorbanan dan mujahadah yang tinggi kerana bertentangan dengan nafsu serakah yang bersarang di dalam dirimu lebih-lebih lagi 'title' gadis yang engkau miliki, sudah pastinya darah mudamu mencabar rasa keimanan yang ada.
Namun ingatlah gadisku, sesiapa yang inginkan kebaikan maka Allah pasti akan memudahkan baginya jalan-jalan kearah itu.
Yang paling penting gadisku engkau mestilah mempunyai azam, usaha dan istiqomah.

Gadisku...
Akuilah dirimu menjadi fitnah kepada kebanyakan lelaki.
Seandainya pakaian malumu kau tanggal dari tubuhmu maka sudah tidak ada lagi perisai yang dapat membentengimu.
Sesungguhnya Nabi S.A.W. ada mengatakan tentang bahaya dirimu, "Tidak ada suatu fitnah yang lebih besar yang lebih bermaharajalela selepas wafatku terhadap kaum lelaki selain fitnah yang berpunca daripada wanita".
Oleh itu gadisku, setiap langkah dan tindakanmu hendaklah berpaksikan kepada Al-Quran dan As-Sunnah.
Jangan biarkan orang lain mengeksploitasi dirimu untuk kepentingan tertentu.
Sesungguhnya Allah telah mengangkat martabatmu sebaris dengan kaum Adam, kau harapan ummah dalam melahirkan para mujahid dan mujahidah yang bisa menggoncangkan dunia dengan sentuhan lembut tanganmu.

Gadisku...
Dalam hidupmu engkau pastinya ingin disayangi dan menyayangi, itulah fitrah semulajadi setiap insan, namun ramai antara kaummu yang tewas kerana cinta.
Bercinta itu tidak salah, tetapi memuja cinta itu yang salah.
Ini kerana disebabkan cinta manusia sanggup menjual agama dan kerana cinta juga maruah tergadai.
Gejala murtad serta keruntuhan moral muda-mudi sebahagian besarnya kerana cinta.
Benarlah sabda Rasullullah S.A.W. yang membawa maksud, "Sesungguhnya cinta itu buta".
Cinta itu mampu membutakan mata dan hatimu dalam membezakan perkara yang hak dan batil jika engkau meletakkan cinta itu atas dasar nafsu dan bukan kerana Allah S.W.T.
Sebelum engkau mendekati cinta, cintailah dirimu terlebih dahulu, mengkaji hakikat kejadianmu yang begitu simbolik, yang berasal daripada setitis air yang tidak beharga lalu mengalami proses pembentukan yang direncanakan oleh Allah S.W.T.
Semoga itu mampu melahirkan rasa keagungan dan kehebatan terhadap Allah dan timbul rasa cinta dan kasih kepada Penciptamu.

Gadisku...
Menyintai Allah dan Rasul melebihi cinta terhadap makhluk adalah cinta hakiki dan abadi kerana hati yang pecah dan retak apabila diberikan kepada makhluk pastinya akan bertambah retak dan terburai.
Tetapi, apabila hatimu diserah kepada Allah sudah pasti akan bertaut kembali.
Dalam usia mudamu, sibukkanlah diri dengan ilmu yang mampu menajamkan akal dan mampu membina sahsiah muslimahmu.
Sesungguhnya ilmu itu cahaya dan tidak mampu bertapak dalam hati orang yang melakukan maksiat.
Akhir kalam, terimalah kata-kata seorang ahli sufi iaitu Rabiatul Adawiyah sebagai renungan bersama.

"Cintakan manusia itu tidak mewujudkan kabahagiaan yang hakiki untuk seorang insan dan ia tidak kekal abadi kerana manusia itu sering membuatkan seseorang kecewa, gagal, merasa terseksa.
Oleh itu, tiada suatu cinta pun yang dapat membuahkan kebahagiaan dan kenikmatan yang kekal abadi kecuali cinta kepada pencipta manusia itu sendiri..."

Tuesday, 24 May 2011

PILIHAN DI TANGAN ANDA

Jangan takut untuk menapak selangkah lagi, jangan segan menuju perubahan yang lebih baik dan pasti. Banggalah dengan cara hidup Islami. Tiada resipi kejayaan menghiasi. Tiada ramuan rahsia menemani, yang ada hanyalah kita sendiri.

Sama ada kita memilih yang 'itu' ataupun yang 'ini'. Jika kita yakin dengan diri sendiri, maka kita akan jadi manusia yang lebih hebat insya-Allah. Ambil cermin, cermin-cerminkan diri anda.

Itulah rahsia orang yang berjaya. Mereka melihat ke dalam cermin, dan apa yang mereka lihat adalah diri mereka sendiri. Ingatlah satu pepatah: Yesterday is history, tomorrow is mystery, but today is a gift. So, let's rise our daily life to its fullest!!!

MAHLIGAI KEBAHAGIAAN


Walaupun usia kita masih muda
Janganlah kita hanyut dalam arus dunia
Kerana ajal tiada mengenal 
Tua atau muda, umur dan usia...

Jikalau kita dipanjangkan usia 
Janganlah hingga lalai dan leka...
 
Bersyukurlah kita di atas segala 
Nikmat-Nya yang tidak terkira...

Awas dan waspada, jangan terpedaya 
Dengan godaan syaitan durjana...

Hawa nafsu yang kehausan 
Harus dileraikan dengan ketabahan...
 
Banyakkan ibadah, tambah saham akhirat 
Tingkatkan iman, amalkan ihsan...
 
Taman syurga melambai-lambai 
Kepada mereka yang telah berjaya...

Mereka di sana bersuka ria 
Di taman keindahan, mahligai kebahagiaan...
 
Jannatunnaim... Haruman raihan 
Nikmatnya air mata salsabil.

TUDUNG = TOPI KELEDAR?

Pakai tudung ini seperti pakai topi keledar...

Benarkah?

Ya. Topi keledar menjaga keselamatan nyawa. Tudung pula menjaga keselamatan akhlak.

Benarkah? Kalau begitu mengapa mereka yang bertudung masih tidak dapat menjaga akhlak?

Seperti topi keledar juga, Ada keadaan tertentu yang topi keledar tidak mampu menyelamatkan nyawa pemakainya. Pelumba haram, pemandu laju, pemandu cuai..Semuanya memakai topi keledar tetapi itu tidak dapat menyelamatkan nyawanya.

Maksudnya?

Ada yang lebih penting daripada sekadar memakai topi keledar. Antaranya memandu berhati-hati. jangan terlalu laju, mematuhi peraturan jalan raya dan sebagainya. Kaitannya dengan tudung, bertudung sahaja tidak cukup bahkan tingkahnya laku tidak liar, pergaulan terkawal, pandangan mata juga sentiasa dikawal. Sekiranya tidak, bertudung tidak mampu menjaga maruah dan akhlak.

Sekiranya begitu, di mana kelebihan bertudung?

Seperti topi keledar juga, ia memberi pelindungan sebab macam mana pun kita berhati-hati, mematuhi undang-undang kekadang berlaku juga kemalangan yang bukan disebabkan kecuaian sendiri tetapi kecuaian orang lain. Waktu itu siapa yang bertopi keledar, maka kuranglah sikit risikonya.

Tetapi tudung sekarang pelbagai fesyen?

Macam topi keledar juga. Ada macam-macam. Ada yang mengikut piawaian keselamatan. Ada yang tidak. Kekadang gaya sahaja yang lebih, bahannya rapuh. Yang malangnya, topi keledar sudah baik tetapi cara pakai pula tidak kena. Tali dibiarkan longgar dan main sangkut-sangkut sahaja.

Kaitannya?

Pakai tudung dan tutup aurat ini dua perkara berbeza. Ramai bertudung tetapi tidak menutup aurat. Tutup aurat ada konsep dan falsafahnya. Ia dibuat atas dasar iman dan cara perlaksanaan mengikut syariat dan tujuan akhirnya untuk mencapai akhlak. Tapi pakai tudung ini macam-macam. Mungkin niatnya mahu 'glamour', mahu cantik dan bergaya.

Jadi salahkah bertudung mahu cantik? Islam itu indah bukan?

Tidak salah tetapi yang utamanya adalah kerana Allah. Atas dasar iman. Kemudian dibuat mengikut syariat. Mana patut ditutup, maka ditutup. Labuhnya dan singkatnya mesti menepati kehendak syariat. Dengan itu barulah maruah wanita itu terpelihara. Dan InsyaAllah selamat dari gangguan.

Tapi kadangkala orang bertudung menghina orang tidak bertudung?

Orang bertudung mugkin boleh menghina orang tidak bertudung. Tetapi orang yang menutup aurat, jika dia benar-benar menghayati konsep menutup aurat, dia tidak akan sekali-kali memandang hina orang yang tidak bertudung.

Bagaimana pula orang yang tidak bertudung akhlaknya lebih baik daripada yang bertudung?

Ia umpama orang yang memandu dengan hemat dan cermat, tetapi tidak memakai topi keledar!

Wallahu'alam...

Thursday, 5 May 2011

10 SIFAT PERIBADI MUKMIN

10 ciri ini sebenarnya kalau ada pada diri kita, maka kehidupan kita akan menjadi teratur, bermakna dan kita akan menjadi lebih mudah mendekati Allah SWT.

Apakah 10 sifat itu? Mari kita lihat bersama-sama. Sifat-sifat yang dimaksudkan itu adalah :

1. Akidah yang Sejahtera : Apabila kita mempunyai akidah, pegangan yang benar dan jelas, maka mengharungi kehidupan bukanlah sesuatu yang sukar buat kita. Jika kita lelah, penat dan rasa gelisah, maka  kita yakin bahawa Allah sentiasa ada bersama kita. Jika kita mempunyai akidah yang sejahtera ini, kita juga akan mempunyai matlamat yang jelas serta perancangan hidup yang teratur kerana kita yakin Allah akan mengira setiap saat dalam kehidupan kita.

2. Ibadah yang Sahih : Ibadah yang sahih memudahkan kehidupan kita. Kita hidup mengharungi cabaran dan pelbagai mehnah. Dengan memahami tuntutan ibadah serta konsepnya yang sebenar, maka kita tidak akan tersasar daripada matlamat kehidupan kita. Apabila kita memandang kehidupan kita itu sendiri sebagai satu ibadah, maka kita akan terhindar daripada melakukan perkara yang sia-sia dan merosakkan.

3. Akhlak yang Mantap : Rasulullah itu sendiri diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. Dengan mempunyai akhlak yang mulia lagi mantap, peribadi kita akan terjaga serta darjat kita di kaca mata masyarakat bumi dan langit akan meningkat. Dengan akhlak kita yang mulia, sukar untuk timbul pergaduhan, sengketa dan sebagainya.

4. Luas Pengetahuan : Tanpa ilmu pengetahuan, manusia hanya akan menjadi hamba kepada manusia lain. Tetapi dengan ilmu pengetahuan, manusia akan berjaya menguasai dirinya, dan mendekatkan jiwanya kepada Allah. Dengan ilmu pengetahuan jugalah manusia memahami dan dapat berpegang teguh dengan keimanannya kepada Allah.

5. Sihat Badan : Badan yang sihat adalah antara tiang kebahagiaan hidup yang penting. Kita perlu menjaga kesihatan kita dan memberikan badan kita akan haknya.

6. Mampu Berdikari : Antara yang membuatkan kehidupan kita bermakna ialah, kita mengaut hasil daripada titik peluh kita sendiri dengan bantuan Allah SWT. Apabila kita tidak bergantung kepaada manusia lain, kita akan boleh menyusun hidup kita dengan baik dan mengaturnya dengan acuan kita sendiri.

7. Melawan Nafsu : Sebagai seorang yang ingin hidup dalam keadaan sejahtera dan selamat, maka kita hendaklah melepaskan diri daripada cengkaman hawa nafsu. Jika tidak, nafsu yang merupakan teman manusia sepanjang masa akan menjadikan kita sebagai hambanya. Dengan menentang nafsu kita, kehiduoan akan menjadi lebih bererti dan mendapat redha Ilahi.

8. Sangat Menjaga Masa : Allah ada menyatakan bahawa manusia itu ramai yang berada dalam kerugian kerana kealpaannya menjaga masa. Masa hakikatnya adalah seperti nyawa kita. Membazirkannya sama sahaja dengan membazirkan nyawa kita sendiri. Jika kita mengisi masa, bermaksud kita mengisi kehidupan kita. 

9. Tersusun Urusannya : Manusia yang tidak mempunyai perancangan sebenarnya sedang merancang untuk gagal. Jika kita mempunyai perancangan yang baik, masa kita tidak akan terbuang. Malah, keadaan kita lihat sempit, kalau kita mempunyai perancangan yang baik, maka kita akan nampak banyak peluang dan kerja yang boleh kita raih. Tersusun urusan juga akan melancarkan kehidupan dan menghindarkan kita daripada keserabutan.

10. Bermanfaat kepada Orang Lain : Apabila kita berjaya menjadikan diri kita bermafaat kepada orang lain, maka kehidupan kita akan menjadi lebih bermakna dan bahagia. Apabila kita bermanfaat kepada orang lain, maka masyarakat menyukai kita. Malah peluang untuk kita berubudiyyah kepada Allah akan menjadi lebih luas. Kita juga berpeluang besar menyebarkan Islam melalui peribadi kita.

Jika kita berjaya melengkapkan diri kita dengan 10 ciri-ciri ini, maka inshaALLAH, tidak mustahil untuk kita mencapai kehidupan yang bahagia, bermakna, tenang dan menyenangkan.

RAWAT PENYAKIT HATI DENGAN AMAL KEBAIKAN

Jika disebut melakukan amal kebaikan, pasti ada yang akan memberikan alasan bahawa melakukan kebaikan itu sukar dan payah. Tetapi sebenarnya tidak, ada banyak amal kebaikan yang mudah untuk kita lakukan sebagai permulaan. Contohnya :

  • Memberi salam
  • Senyum
  • Sedekah dalam jumlah yang sedikit
  • Mengutip sampah yang nampak
  • Membaca Al-Quran sehari sedikit (kalau terlampau malas, sehari satu ayat)
  • Berzikir (mudah, sebut dengan mulut atau zikir dalam hati, bila-bila boleh buat)
  • Istighfar (kaedah sebagaimana zikir)
  • Selawat ke atas nabi (mudah dan fadhilatnya amat besar)
  • Pelihara solat lima waktu
Jika kita istiqomah dalam melakukannya, inshaALLAH hati kita akan terpelihara, dan kehitaman hati akan tercuci. Buatlah kebaikan-kebaikan yang mudah ini terlebih dahulu. Kemudian, kekalkan prestasi dalam ibadah-ibadah ini, seterusnya kita mempertingkatkan diri dengan menambah amal-amal yang lain.

Jika kita menghampiri Allah selangkah, Allah akan menghampiri kita seribu langkah. Jika kita berjalan mendekatiNya, maka Dia akan berlari dengan pantas mendekati kita. InshaALLAH. Renung-renungkan dan selamat beramal.